Maut dihempap kren yang dikendalikan

 Seorang lelaki maut selepas dihempap kren ketika menjalankan kerja pembaikan papan tanda bangunan.
Seorang lelaki maut selepas dihempap kren ketika menjalankan kerja pembaikan papan tanda bangunan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas dihempap kren ketika menjalankan kerja pembaikan papan tanda bangunan di Jalan Perak di sini pada Jumaat.

Kemalangan kira-kira jam 10.40 malam itu dipercayai berlaku semasa mangsa yang juga pengendali kren sedang mengendalikan jentera berkenaan menggunakan alat kawalan jauh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kemalangan maut melibatkan sebuah kren jenis spider lift dan dua buah kenderaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kren tersebut dipercayai telah terlanggar tebing kaki lima.

"Keadaan itu menyebabkan kren berkenaan hilang imbangan sebelum terbalik.

"Kren yang terbalik itu kemudian menghempap mangsa serta dua buah kenderaan berhampiran iaitu Proton Persona dan BMW 523i," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, salah sebuah kenderaan yang dihempap mempunyai pemandu dan penumpang di dalamnya manakala sebuah lagi hanya dipandu seorang individu.

"Bagaimanapun, pemandu dan penumpang bagi kedua-dua kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan selamat.

"Mangsa yang merupakan warga Bangladesh berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti syarikat pemilik kren dan kontraktor yang terlibat dalam kerja pembaikan tersebut.

"Semakan juga sedang dibuat berhubung permit kebenaran kerja yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut sedang diperoleh bagi membantu siasatan,” katanya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

"Mereka boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki maut dihempap kren ketika membaiki papan tanda di Jalan Perak, Kuala Lumpur
  • Kemalangan berlaku semasa mangsa mengendalikan kren menggunakan alat kawalan jauh
  • Kren tersebut terbalik setelah terlanggar tebing kaki lima dan menghempap dua buah kenderaan
  • Mangsa yang berusia 32 tahun dari Bangladesh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian
  • Siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengenal pasti pemilik kren dan status permit kerja

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!