Bapa pukul anak 11 tahun gara-gara tidak kemas dapur didenda RM8,000

KUALA LUMPUR – Seorang bapa yang memukul anak menggunakan penyangkut baju hingga mangsa cedera di bibir dan badan kerana berang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu tidak mengemas dapur, dihukum denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Tertuduh yang berusia 42 tahun, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang bekerja sebagai tukang paip terbabit, dipenjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.
Lelaki tersebut juga dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,000 serta seorang penjamin, selain melaksanakan khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan.
Mengikut pertuduhan, dia yang berada di kandang tertuduh dengan berkerusi roda, didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak tunggalnya di sebuah unjt pangsapuri di Taman Metropolitan di sini pada jam 2 petang 3 Oktober lalu.
Kesalahan tertuduh menyebabkan mangsa yang ketika kejadian berumur 11 tahun 10 bulan mengalami kecederaan di badan.
Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau pemenjaraan selama maksimum 20 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam mengatasi keperluan tertuduh.
“Kejadian berkenaan menyebabkan mangsa mengalami trauma sehingga menyebabkan dia melarikan diri.
“Selaku seorang bapa, dia sepatutnya melindungi anak terutama usia mangsa yang masih muda dan bukannya melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan kerana menyesal atas perbuatan yang dilakukan.
Pada Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes pukul anak.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati, suspek telah memukul anak perempuannya kerana berang mangsa tidak mengemas serta mencuci pinggan.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya melarikan diri dari rumah pada Sabtu sebelum ditemui orang awam di sebuah kedai di Metro Prima, Kepong.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan sebelum didapati mangsa mengalami lebam di bawah bibir, calar di belakang badan dan sakit di bahagian kepala.
Ringkasan AI
- Seorang bapa memukul anak perempuan berusia 11 tahun kerana tidak mengemas dapur
- Bapa berusia 42 tahun itu didenda RM8,000 dan boleh dipenjara 8 bulan jika gagal bayar denda
- Terdapat perintah untuk tertuduh menjalani bon berkelakuan baik dua tahun dan khidmat masyarakat 36 jam
- Kejadian menyebabkan mangsa mengalami trauma dan luka
- Tertuduh mengaku bersalah dan tidak diwakili peguam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

