[VIDEO] Petisyen pemecatan Hamzah tertakluk Lembaga Disiplin - Bersatu

A
A
A

PETALING JAYA – Sebarang isu berhubung pemecatan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin tertakluk kepada proses yang ditetapkan dalam perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, perlembagaan parti tidak mengenal kedudukan atau individu.

Jelasnya, mana-mana ahli yang didapati melanggar peraturan perlembagaan atau peraturan parti dan sekiranya terdapat aduan bertulis, akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan selanjutnya.

“Lembaga Disiplin mempunyai mandat untuk membuat lima jenis keputusan iaitu memberi amaran, membebaskan, menggantung atau memecat, tertakluk kepada bukti yang dikemukakan dan penelitian yang dibuat.

"Oleh itu, saya tidak mahu membincangkan soal petisyen mana-mana pihak kerana ia adalah hak setiap ahli untuk membawa perkara tersebut kepada Lembaga Disiplin,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Mohamed Azmin (kanan) mengiringi Muhyiddin selepas berakhirnya program Dialog Bersama Presiden di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya pada Jumaat.
Mohamed Azmin (kanan) mengiringi Muhyiddin selepas berakhirnya program Dialog Bersama Presiden di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya pada Jumaat.

Mohamed Azmin menjelaskan, Perkara 22.5 Perlembagaan Bersatu menyatakan bahawa sekiranya terdapat aduan bertulis daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Badan Pimpinan Negeri, bahagian, cawangan atau mana-mana ahli terhadap salah laku ahli lain, Lembaga Disiplin akan mendengar aduan tersebut.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan wujud petisyen memecat Hamzah yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, ketika ditemui selepas berakhirnya program Dialog Bersama Presiden yang dianjurkan di Ibu Pejabat Bersatu di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Mohamed Azmin, program Dialog Bersama Presiden adalah platform terbuka untuk memberi penerangan kepada jentera penerangan di pelbagai peringkat, termasuk ahli Parlimen dan ketua-ketua bahagian.

“Tujuannya supaya semua pihak dapat mendengar secara langsung daripada Presiden mengenai hala tuju parti, asas perlembagaan parti serta ke mana parti ini akan dibawa, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

"Sudah tentu, dalam perjalanan politik terdapat cabaran dan dugaan. Presiden bertanggungjawab memastikan ahli-ahli di peringkat bawah berpegang kepada perlembagaan dan berusaha memenangkan parti sebagai sebuah parti yang diterima rakyat,” jelasnya.

Berhubung kedudukan Presiden Perikatan Nasional (PN), Mohamed Azmin menegaskan, perbincangan masih berjalan.

“Semua pihak, termasuk Bersatu, PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia atau Malaysian Indian People’s Party (MIPP) telah membuat ketetapan bahawa Perikatan Nasional mesti dipertahankan.

"Sekiranya terdapat sebarang masalah, ia akan dibawa ke meja rundingan. Meja rundingan inilah yang akan menyatukan semua perkara, dan saya percaya dengan kebijaksanaan para pemimpin parti, isu-isu ini dapat diselesaikan secara harmoni,” tambahnya.

Sebelum ini, Bersatu menegaskan pendirian mereka berhubung pelantikan Pengerusi PN masih tidak berubah iaitu hanya menerima calon dalam kalangan presiden parti komponen gabungan itu.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pendirian tersebut diputuskan dalam Mesyuarat MPT Bersatu pada 12 Januari lalu dan sehingga kini masih kekal.

Ringkasan AI

  • Isu pemecatan ahli Bersatu termasuk Timbalan Presiden tertakluk kepada proses perlembagaan parti Perlembagaan parti tidak mengenal kedudukan individu, tindakan akan diambil jika ahli melanggar peraturan Lembaga Disiplin mempunyai mandat membuat keputusan seperti memberi amaran hingga memecat berdasarkan bukti Mohamed Azmin menegaskan aduan bertulis terhadap ahli akan didengar oleh Lembaga Disiplin Perbincangan mengenai kedudukan Presiden Perikatan Nasional masih berjalan, dengan penekanan pada kepentingan meja rundingan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!