Peluang musim haji masih samar

Status musim haji tahun ini masih menjadi tanda tanya kerana belum diputuskan oleh kerajaan Arab Saudi. - Foto 123RF
Status musim haji tahun ini masih menjadi tanda tanya kerana belum diputuskan oleh kerajaan Arab Saudi. - Foto 123RF
A
A
A

WABAK Covid-19 yang telah menjangkiti lebih 800,000 orang semalam menyebabkan banyak acara besar dunia tertangguh atau dibatalkan.

Minggu lalu, Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara rasmi ditangguhkan ke tahun depan. Ironinya, temasya sukan terbesar dunia itu dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula 24 Julai iaitu kira-kira seminggu sebelum kemuncak ibadah haji di Tanah Suci Makkah.

Begitupun, status musim haji tahun ini masih menjadi tanda tanya kerana belum diputuskan oleh kerajaan Arab Saudi. Penjaga dua kota haramain itu sekadar mengeluarkan larangan mengerjakan umrah berkuat kuasa 4 Mac lalu. Dengan Arab Saudi masih bergelut untuk memerangi Covid-19 di negaranya sendiri dan musim haji akan bermula tidak lama lagi, ia wajar diputuskan segera.

Jika diteruskan, ia akan membolehkan bakal jemaah membuat persediaan tambahan tetapi jika sebaliknya, agensi umrah dan haji dapat mengurangkan impak kerugian akibat terpaksa membatalkan tempahan. Apatah lagi, akibat larangan umrah secara serta-merta pada awal Mac lalu, industri ibadah umrah di Malaysia dilaporkan terpaksa menanggung kerugian bernilai lebih RM100 juta.

Catatan sejarah memperlihatkan Makkah dan Madinah pernah ditutup 40 kali daripada ibadah haji. Menurut data Jejak Imani Umrah & Islamic Tours, wabak pada tahun 1837 menyebabkan ibadah haji tidak dapat dijalankan selama tiga tahun. Pada 1892, wabak kolera mengakibatkan ramai jemaah meninggal dunia sehinggakan mayat-mayat bertimbun sebelum dapat dikebumikan.

Musim haji tahun ini dijangka menghimpunkan lebih dua juta umat Islam dari serata dunia. Andainya berlaku wabak, walaupun hanya melibatkan 10 peratus jemaah, ia tentunya satu malapetaka yang dahsyat.

Bagi jemaah haji Malaysia, penerbangan pertama dijadualkan pada 22 Jun 2020 iaitu tidak sampai tiga bulan lagi. Justeru, kerajaan seharusnya sudah berkira-kira untuk membuat ketetapan berhubung peluang umat Islam di Malaysia menunaikan haji tahun ini.

Dengan situasi yang terus meruncing di seluruh dunia, tidak banyak yang boleh dibuat melainkan berdoa agar wabak ini berakhir sebelum musim haji 1441 Hijrah bermula.

Artikel Berkaitan: