Nur Ameer wakili negara ke Sukan Olimpik Khas Dunia, Berlin

Nur Ameer, akan mewakili tiga acara sukan pada Special Olympics World Games di Berlin Jerman pada 17 hingga 25 Jun ini. Foto Bernama
Nur Ameer, akan mewakili tiga acara sukan pada Special Olympics World Games di Berlin Jerman pada 17 hingga 25 Jun ini. Foto Bernama
A
A
A

SEORANG remaja yang mengalami ketidakupayaan pembelajaran, Nur Ameer Muqsiq, 19, akan mewakili negara ke temasya Sukan Olimpik Khas Dunia di Berlin, Jerman pada 17 hingga 25 Jun ini.

Nur Ameer dipilih mewakili negara oleh Olimpik Khas (SO) Perak selepas beliau memenangi emas untuk acara larian 100 meter (m) dan lompat jauh pada temasya Sukan Olimpik Khas Malaysia di Melaka pada Ogos lepas.

Pada temasya di Jerman nanti, Nur Ameer akan bertanding dalam acara larian 100m, 4x100m dan lompat jauh.

"Ini merupakan kali pertama saya akan mewakili negara. Saya rasa seronok dan gementar.

"Saya telah mula berlatih sejak tahun lepas. Saya berlatih dua kali seminggu di rumah dan di Stadium Perak bersama jurulatih,” katanya kepada pemberita pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri Akademi Hoki Raja Ashman Shah Persekutuan Hoki Asia (AHF) di sini hari ini.

Sementara itu, jurulatihnya, S. Manogaran berkata, atlet yang turut menghidap disklesia itu sentiasa bersemangat untuk bersaing pada temasya sukan tersebut.

Katanya, Nur Ameer juga adalah seorang yang sangat mendengar kata dan sentiasa memberi sepenuh perhatian ketika melakukan latihan.

"Saya pernah beberapa kali bawa dia untuk melihat perlawanan di stadium, dia begitu teruja dan berkata ingin berlatih bersungguh-sungguh untuk mewakili negara,” katanya.

Sukan Olimpik Khas Dunia merupakan temasya sukan khusus bagi orang kurang upaya (OKU) yang mempertandingkan 26 acara termasuk badminton, olahraga, boling dan berbasikal. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!