Sila log masuk terlebih dahulu.

Pembangunan vaksin Covid-19 masih di peringkat fasa pertama

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dunia mempunyai harapan besar untuk memiliki vaksin koronavirus (Covid-19) dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang apabila pelbagai syarikat terkemuka kini berlumba-lumba menghasilkan vaksin berkenaan.

Bagaimanapun, menurut Pakar Epidemiologi dan Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia, Datuk Profesor Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud, pembangunan vaksin Covid-19 itu masih di peringkat ujian klinikal fasa pertama.

Beliau berkata, terdapat empat fasa ujian klinikal ke atas manusia dalam pembangunan vaksin.

"Fasa pertama membabitkan ujian klinikal ke atas manusia yang mengambil masa antara tiga hingga enam bulan bagi memastikan vaksin itu selamat.

"Banyak syarikat seluruh dunia sedang melakukan ujian ini dan sebagai satu pandemik, sudah pasti negara yang mempunyai kepentingan akan melabur besar dalam pembangunan vaksin Covid-19.

"Sekiranya berjaya, ia akan memberi nilai komersial kepada syarikat terbabit bagi meraih pulangan lumayan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, desakan daripada kumpulan saintis dan pakar kesihatan awam akan mendorong kerajaan di negara terbabit untuk membangunkan vaksin Covid-19 secepat mungkin.

Menurutnya, pembangunan vaksin bagi fasa dua mengambil masa tiga hingga enam bulan bagi mengenal pasti tindak balas dan ketahanan badan bagi menghasilkan antibodi melawan virus tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Jika fasa pertama gagal (vaksin tidak selamat kepada manusia), maka fasa kedua tidak boleh dilakukan.

"Fasa ketiga pula akan melibatkan banyak ujian klinikal di pelbagai pusat setiap negara dengan mengambil kira faktor umur dan bangsa.

“Sesuatu vaksin hanya boleh memohon kelulusan pihak berkuasa yang mengawal selia ubat-ubatan setelah melepasi fasa ketiga iaitu terbukti selamat dan berkesan digunakan," katanya.

Setakat ini, Amerika Syarikat memulakan ujian klinikal dengan menyuntik vaksin percubaan ke atas manusia bermula April.

Berdasarkan laporan agensi berita Xinhua, Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Negara (NIAID) Anthony Fauci berkata, ujian klinikal bermula di Kaiser Permanente Washington Health Research Institute (KPWHRI) di Seattle itu dibiayai NIAID membabitkan 45 sukarelawan berusia antara 18 hingga 55 tahun.

Mereka akan menerima jumlah dos yang berbeza-beza.