Polis sahkan kanak-kanak ditemukan di kolam tadahan air maut akibat lemas, tiada unsur jenayah

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kulai pada 11.15 pagi, selepas dibawa keluar dari kolam berkenaan oleh anggota JBPM Johor.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kulai pada 11.15 pagi, selepas dibawa keluar dari kolam berkenaan oleh anggota JBPM Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah kolam tadahan air berhampiran Taman Sungai Mas, Kulai, pada Rabu, akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa dipercayai pergi ke kolam berkenaan secara bersendirian untuk memancing, dengan kediamannya terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa keluar bekerja kira-kira 6.30 pagi, selepas mendapati kanak-kanak itu sedang tidur bersama kakaknya yang berusia 17 tahun.

"Kira-kira 10 pagi, ibu mangsa dimaklumkan oleh seorang kenalan bahawa anaknya ditemukan tidak sedarkan diri di kolam tadahan air berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Seng Lee berkata, sebatang joran pancing turut ditemukan berhampiran lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kulai pada 11.15 pagi, selepas dibawa keluar dari kolam berkenaan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor.

Beliau berkata, hasil bedah siasat, mengesahkan punca kematian disebabkan lemas.

Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), manakala siasatan lanjut masih diteruskan.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak serta tidak membiarkan mereka melakukan aktiviti di kawasan berisiko seperti kolam, sungai dan kawasan perairan tanpa pengawasan orang dewasa.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, media melaporkan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu maut, selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam takungan air pagi semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan I Awang Adzwan Awang Sahari berkata, pihaknya mendapati, seorang kanak-kanak lelaki dipercayai terjatuh ke dalam kolam takungan itu ketika memancing seorang diri.

Beliau berkata, anggota bomba menggunakan tali dan pengusung untuk membawa keluar mangsa, sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu pegawai perubatan, sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Bernama

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!