X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga sahabat tawar jadi sukarelawan 'cleaner' hospital

Gambar dari kiri: Muhammad Aiman, Ahmad Rafiq dan Zulfadli menawarkan khidmat kerja-kerja pembersihan di hospital.
A
A

REMBAU – Tiga sahabat menawarkan diri menjadi sukarelawan untuk kerja-kerja pembersihan di hospital kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan koronavirus (Covid-19) ketika ini.

Niat murni Muhammad Aiman Mohammad Zaki, 26, Ahmad Rafiz Yaacob, 31, dan Zulfadli Kamaruddin, 32, itu timbul apabila mereka mengenang tugas berganda yang dipikul pekerja pembersihan di hospital ketika ini yang sama penatnya seperti petugas kakitangan perubatan.

Muhammad Aiman berkata, pekerja pembersihan di hospital juga antara sebahagian petugas barisan hadapan dan memainkan peranan penting bagi memastikan kebersihan kawasan hospital.

“Selain doktor dan jururawat yang mungkin perlu bekerja lebih masa ketika ini untuk kes Covid-19, pekerja pembersihan di hospital pun saya rasa hadapi perkara sama.

“Tahap kebersihan pusat perubatan jadi perkara utama harus diberi perhatian ketika ini terutama di kawasan yang menempatkan pesakit Covid-19 dan sebab itu saya terfikir untuk bersama mereka buat kerja pembersihan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tiga sekawan tawar diri jadi sukarelawan 'cleaner' hospital.
Tiga sekawan tawar diri jadi sukarelawan 'cleaner' hospital.

Menurutnya, ada rakan-rakan pada awalnya menganggap hasratnya itu satu gurauan, namun dia benar-benar serius mahu berbakti dan menyumbang tenaga kepada negara yang menghadapi krisis Covid-19.

“Saya tak kisah orang nak cakap apa, itu terpulang pada mereka. Saya nak bantu dari sudut kewangan, saya tiada duit. Jadi saya tawarkan tenaga dan kami ikhlas.

“Saya ada tanya kawan yang kerja dengan Kementerian Kesihatan (KKM), tapi saya diberitahu masih ada peluang untuk jadi sukarelawan pembersihan di hospital ketika ini.

"Siapa yang boleh bantu saya dan kawan-kawan untuk tawarkan khidmat boleh hubungi saya di talian 014-3458013,” katanya.

Sementara itu Zulfadli pula menyifatkan peranan pekerja pembersihan ketika ini amat berat kerana perlu membersihkan kawasan yang berisiko dijangkiti Covid-19.

"Tapi saya percaya jika ikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi kerja pembersihan, keadaan akan selamat.

“Kalau nak kena, di mana-mana pun boleh kena. Janji kita jaga keselamatan dan ikut saranan kerajaan. Yang lain kita serah pada DIA.

“Tengoklah macam mana petugas perubatan dan pekerja pembersihan hospital, yang berada di kawasan lebih berisiko,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Rafiq menyifatkannya kerja-kerja sukarelawan dilakukan sebagai ‘projek’ amal untuk dirinya berbakti.

Katanya, dia bernasib baik kerana mendapat sokongan daripada isteri meskipun sedar tugas yang ingin dilakukannya itu mempunyai risiko.

“Kalau cakap takut, memanglah takut tapi bagaimana pula dengan pekerja pembersihan yang buat kerja pembersihan di sana?

“Dalam keadaan sekarang ini kita sebagai rakyat Malaysia perlu sama-sama bantu untuk kita menang dalam ‘perang’ Covid-19,” katanya.

Sinar Harian difahamkan hasrat tiga sekawan tersebut mendorong minat individu lain untuk ikut serta sebagai sukarelawan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!