Ubah mentaliti mendepani Covid-19

Seorang pekerja sebuah gerai di Presint 15, Putrajaya kelihatan memakai penghadang muka lutsinar dengan kempen #STAYATHOMEPLEASE hari ini. Gambar kecil: Mohd Azmir
Seorang pekerja sebuah gerai di Presint 15, Putrajaya kelihatan memakai penghadang muka lutsinar dengan kempen #STAYATHOMEPLEASE hari ini. Gambar kecil: Mohd Azmir
A
A
A

PENGHUJUNG Disember 2019 dunia digemparkan dengan kehadiran virus koronavirus dalam strain yang baharu dipercayai berpunca di Wuhan, Hubei, China. Namun, kebanyakan pakar serta orang awam gagal mengantisipasi tahap bahaya virus ini.

Wujud juga pemikiran pada sesetengah orang, virus Wuhan ini hanya tersebar di negara China sahaja. Tetapi, kuasa ALLAH SWT itu tiada terbanding, maka atas kealpaan manusia dari asalnya dikenali sebagai Wuhan virus pada tahap wabak, maka pada Februari, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggelarkan virus ini Covid-19 yang menggambarkan bahaya virus bukannya hanya tertakluk pada negara China sahaja.

Daripada tahap apademik, maka pada Mac, WHO menukarkan statusnya sebagai pandemik yang menggambarkan bahayanya menjangkau komuniti, negara mahupun dunia. Data terkini, pandemik ini telah merekodkan sebanyak lebih setengah juta kes dengan kadar kematian sebanyak lebih daripada 24 ribu di seluruh dunia.

Apa yang harus diketahui ialah, perjuangan menentang pandemik ini daripada terus merebak dan boleh mengakibatkan jutaan nyawa terancam, ialah hanya melalui sikap dan sifat serta perubahan mentaliti.

Jika dilihat semula, dengan pelbagai usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak farmaseutikal di seluruh dunia, jawapan definitif masih belum ditemukan.

Maka, perubahan mentaliti menjadi asas besar dalam perjuangan ini. Namun, amat dikesali, perubahan mentaliti dan sikap yang dituntut gagal disambut baik. Sebagai perbandingan, kes di China telah semakin menurun, tetapi Amerika Syarikat telah menjadi negara yang paling banyak melaporkan kes diikuti oleh Itali. Maka, jelas ia bukanlah berkaitan teknologi atau kemampanan pengetahuan, tetapi perubahan mentaliti yang menjadi faktor utama dalam perjuangan ini.

Memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, penularan pandemik ini harus menjadi medan bagi umat Islam bermuhasabah diri juga bagi rakyat Malaysia belajar bersabar.

Perubahan mentaliti agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan dugaan yang besar dalam mendidik diri agar patuh dan dengar kepada arahan. Amatlah malang, ada sebilangan yang masih lagi ingkar, dengan mengadakan kenduri, bersenam di luar, bersiar-siar di taman, berjual beli di waktu malam, tidak memberi kerjasama kepada anggota keselamatan, membuat fitnah terhadap kenalan, malah ada juga yang mengambil kesempatan dengan menipu jual beli dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Semua perkara di atas dilakukan oleh warga yang dewasa, punyai cukup akal dan berkeluarga, dan seharusnya menjadi teladan yang baik kepada keluarga, masyarakat dan warga Malaysia yang lainnya.

Etika

Perubahan mentaliti ini adalah asas kepada Malaysia mencipta warga yang mempunyai minda kelas pertama, namun sebaliknya yang berlaku. Maka tidak hairanlah kerajaan terpaksa mengumumkan PKP fasa kedua sehingga 14 April, menjadikan jumlah perintah selama sebulan.

Kejadian di dua buah kampung di Simpang Renggam harus menjadi peringatan kepada semua warga betapa pentingnya mengikut arahan pihak berkuasa. Juga tidak hairan apabila pihak polis terpaksa menggunakan peruntukan-peruntukan undang-undang dalam mengawal tingkah laku dan etika warga yang gagal mematuhi.

Etika warga yang baik seperti berusaha bersungguh-sungguh, menjalankan tanggungjawab serta menawarkan bantuan wang dan tenaga dalam bersama-sama dengan pasukan hadapan (frontliners) mengurus pesakit, warga dan masyarakat yang terkesan merupakan mentaliti dan sikap orang yang hebat. Namun pengorbanan ini bakal sia-sia sekiranya ada segelintir warga yang lebih mementingkan diri sendiri daripada kemaslahatan umum.

Seharusnya sikap penting diri sendiri itu perlu dengan duduk diam di dalam rumah, dan hanya keluar jika perlu dalam waktu yang dibenarkan. Sekiranya ingin bersikap individualistik, maka ini adalah masanya dengan tidak keluar rumah dan bukannya perdebatkan apa itu PKP atau ingkar arahan pihak berkuasa. Falasi pemikiran sebegini harus dibetulkan dengan bermuhasabah.

Tempoh PKP panjang lagi. Jagalah etika, ubahlah mentaliti agar kebebasan yang ditarik sementara ini menjadi peluang bermuhasabah. Moga Malaysia mampu membendung Covid 19 dan menjadi contoh warga dunia dalam menghadapi krisis kesihatan dan kemanusiaan ini.

Perubahan mentaliti adalah asas kejayaan perjuangan ini. Bak kata pepatah, “kesakitan pada seorang, adalah kesakitan pada semua”.

* Dr Mohd Azmir Mohd Nizah ialah Ketua Program Pasca Siswazah Generik di Universiti Sains Islam Malaysia.