Tanpa sebelah kaki, lelaki Muslim berani halang serangan masjid

RAUTAHAT – Walaupun tanpa sebelah kaki, seorang lelaki Muslim menunjukkan keberanian luar biasa apabila berdepan cubaan sekumpulan individu yang menyerang masjid tempatan di kawasan Rampur, daerah Rautahat, Nepal.
Menurut rakaman video yang kini tular di media sosial itu menunjukkan lelaki berkenaan berdiri teguh meskipun dengan keadaan hanya satu kaki, cuba mempertahankan masjid daripada gangguan tersebut.
Insiden tersebut berlaku ketika situasi berhampiran masjid mula tegang pada hujung Januari 2026 lalu apabila sekumpulan individu yang dikaitkan dengan ideologi ekstremis dilihat cuba mendekati kawasan ibadah.
Rakaman turut menunjukkan beliau bersemuka dengan kumpulan berkenaan dan cuba menenangkan suasana, walaupun keadaan berpotensi menjadi rusuhan.
Tindakan itu mendapat pujian ramai warganet kerana keberaniannya mempertahankan tempat ibadat komuniti Muslim di sana.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis atau kerajaan Nepal mengenai butiran penuh insiden tersebut, termasuk sama ada sebarang tangkapan dibuat, bilangan individu yang terlibat atau punca sebenar serangan.
Tidak juga jelas sama ada kejadian itu menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda.
Rautahat merupakan sebuah daerah di selatan Nepal yang berdekatan dengan sempadan India.
Di kawasan berkenaan, insiden ketegangan antara komuniti kadangkala timbul ekoran perbezaan kepercayaan dan perayaan budaya yang saling bertindih, meskipun Nepal secara rasmi merupakan sebuah republik berbilang agama.
Sebarang tindakan terhadap tempat ibadah boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti Islam tempatan, terutama apabila ia melibatkan perhimpunan yang agresif. – Agensi
Ringkasan AI
- Seorang lelaki Muslim di Rautahat, Nepal berhadapan dengan kumpulan ekstremis cuba menyerang masjid
- Lelaki tersebut yang kehilangan sebelah kaki dan berusaha mempertahankan masjid
- Kejadian berlaku akhir Januari 2026 dan video keberaniannya menjadi tular di media sosial
- Tiada kenyataan rasmi dari pihak polis atau kerajaan Nepal tentang butiran insiden
- Rautahat merupakan kawasan yang kadangkala mengalami ketegangan antara komuniti berbeza agama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

