'Scammer' makin kebal, rakyat terus jadi mangsa

KES penipuan dalam talian atau scam di Malaysia menunjukkan trend yang semakin membimbangkan. Sebanyak 67,735 kes jenayah dalam talian direkodkan di seluruh negara sejak Januari hingga November lalu melibatkan nilai kerugian melebihi RM2.7 bilion.
Platform popular seperti Telegram, Facebook dan WhatsApp terus menjadi medan utama scammer memperdaya mangsa. Daripada skim pelaburan palsu, tawaran pekerjaan tidak wujud, hingga penyamaran pegawai kerajaan, taktik mereka semakin licik.
Terkini, taktik panggilan senyap muncul sebagai modus operandi baharu. Tiada suara, tiada interaksi, tetapi cukup untuk mengesahkan nombor telefon sebagai aktif sebelum serangan susulan dilakukan melalui SMS, WhatsApp atau pautan palsu.
Sindiket ini dirancang untuk mengeksploitasi kepercayaan, rasa takut, atau keinginan manusia untuk mendapat keuntungan cepat.
Persoalan utama ialah mengapa jenayah ini seolah-olah kebal berbanding jenayah konvensional. Jika seseorang mencuri motosikal atau pecah rumah, pelakunya biasanya dapat dijejak. Tetapi 'scammer'? Kebanyakan pendakwaan hanya melibatkan keldai akaun, individu yang diperalatkan untuk memindahkan wang hasil penipuan.
Dalang sebenar atau 'mastermind' selalunya bebas, dilindungi oleh jaringan antarabangsa dan teknologi penyamaran canggih.
Keadaan ini menuntut tindakan tegas dan menyeluruh. Penguatkuasaan undang-undang perlu diperkasakan, bukan sahaja melalui siasatan tempatan tetapi juga melalui kerjasama rentas sempadan.
Penyedia platform digital juga mesti bertanggungjawab menutup akaun dan kandungan mencurigakan dengan segera.
Orang ramai pula perlu mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri. Elakkan menjawab panggilan atau mesej dari nombor yang tidak dikenali, jangan mudah klik pautan yang meragukan, dan jangan berkongsi maklumat peribadi atau kewangan melalui media sosial.
Memasang aplikasi pengesan 'scam' seperti Truecaller atau Whoscall, boleh membantu mengesan nombor mencurigakan. Jika menerima sebarang aktiviti pelik, segera laporkan kepada pihak berkuasa dan syarikat telekomunikasi.
'Scammer' bukan penipu biasa. Mereka ialah sindiket terancang yang menghakis kepercayaan, keselamatan dan kestabilan kewangan rakyat.
Tanpa tindakan tegas daripada pihak berkuasa dan kesedaran tinggi rakyat, yang kebal akan terus bermaharajalela, dan yang rugi tetap rakyat biasa!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
