Pangsapuri jadi ‘calling centre’ diserbu, empat warga China ditahan

MELAKA - Polis Melaka menahan empat lelaki warga China disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian menerusi serbuan di sebuah unit pangsapuri di Taman Kota Laksamana di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD), Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah sekitar jam 8.30 malam, Selasa lalu.
Menurutnya, kesemua suspek berumur antara 28 hingga 32 tahun dan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud melalui sebuah pusat panggilan.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tinggi.
“Sindiket ini menyasarkan mangsa dalam kalangan warga China dengan menggunakan aplikasi mudah alih sebagai medium penipuan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Katanya, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan yang dianggarkan bernilai RM10,000, termasuk sebuah komputer riba, enam telefon bimbit, sekeping kad akses serta satu set dokumen perjalanan.
Ujarnya, semua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dan segera.
“Orang ramai disaran membuat semakan dengan pihak berkuasa atau agensi berkaitan sebelum melabur.
“Selain itu, orang ramai juga boleh menyemak nombor telefon atau akaun bank yang mencurigakan menerusi laman sesawang Semak Mule di http://semakmule.rmp.gov.my,” katanya.
Selain itu, katanya, aduan berkaitan penipuan boleh dibuat melalui Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi menyekat transaksi kewangan sekiranya menjadi mangsa.
Ringkasan AI
- Polis Melaka menahan empat lelaki warga China terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian
- Serbuan polis dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Taman Kota Laksamana
- Suspek berumur antara 28 hingga 32 tahun menjalankan kegiatan penipuan melalui pusat panggilan
- Sindiket menawarkan skim pelaburan palsu dengan pulangan tinggi menggunakan aplikasi mudah alih
- Polis merampas barang bernilai RM10,000 dan nasihatkan orang ramai berwaspada terhadap tawaran pelaburan menjanjikan pulangan tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

