FAM tidak akan digantung FIFA

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berdepan sebarang risiko digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan langkah pemulihan dalaman yang sedang diusahakan ketika ini.
Jaminan tersebut disuarakan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John yang mengesahkan bahawa perancangan untuk memulihkan badan induk itu telah pun dibincangkan secara terperinci antara AFC dan FIFA.
Bagaimanapun, Windsor menegaskan, FAM wajib bersetuju dan menerima segala cadangan penambahbaikan serta perubahan drastik yang bakal dibentangkan oleh AFC demi kebaikan bola sepak Malaysia.
“Sebelum kita buat proses ini, saya sudah bincang dengan FIFA untuk buat pemulihan di FAM. Jadi, FIFA tidak akan campur tangan selepas ini. FIFA akan memantau, tetapi mandat telah diberi kepada AFC untuk bantu FAM.
“Namun ada syaratnya. FAM kena setuju. Apa-apa perubahan yang kita cadangkan, perlu diterima demi kebaikan bola sepak. Selagi FAM bersetuju dengan semua perubahan, risiko itu tiada,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pada Rabu, bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam satu sidang akhbar pada Rabu mengumumkan bahawa semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden FAM memaklumkan, keputusan sebulat suara itu diambil dengan mengambil kira tanggungjawab terhadap organisasi tanpa melibatkan sebarang kepentingan peribadi.
Difahamkan, langkah meletakkan jawatan itu juga sebagai mengelak campur tangan lebih keras daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan kelemahan urus tadbir isu pemalsuan dokumen tujuh pemain negara.
Dalam pada itu, Windsor turut memperbetulkan persepsi umum mengenai istilah penggantungan atau jawatankuasa normalisasi FIFA. Tegasnya, tindakan sedemikian bukanlah satu bentuk hukuman, sebaliknya satu proses pembaikan.
Namun, beliau mengakui bahawa jalan terbaik adalah melakukan pembaikan tanpa penggantungan kerana ia boleh merosakkan ekosistem bola sepak negara termasuk risiko pasukan kebangsaan tidak dibenarkan beraksi di pentas antarabangsa selama beberapa bulan.
“Penggantungan bukan hukuman, itu orang tak faham. Ia untuk pembaikan. Tetapi kalau boleh buat pembaikan tanpa gantung, itu lebih baik dan itulah yang kita sedang buat sekarang.
“Bayangkan kalau gantung, mesti ambil masa tiga atau empat bulan sebelum normalisasi. Dalam tempoh itu, tak boleh main pertandingan antarabangsa. Tiada faedah yang lebih besar jika berlaku penggantungan,” ujarnya.
Beliau turut mengesahkan bahawa AFC telah menerima surat daripada FAM yang menyatakan kesediaan badan induk itu untuk melakukan perubahan ke arah menjadi sebuah persatuan yang moden serta mengikut piawaian antarabangsa.
“Apa yang penting perubahan mesti drastik. Jika FAM patuhi segala perubahan dan pembaikan yang dicadangkan, tiada masalah,” katanya.
Ringkasan AI
- FAM tidak berdepan risiko digantung oleh FIFA kerana usaha pemulihan yang sedang dijalankan
- AFC dan FIFA telah bersetuju dengan perancangan pemulihan untuk FAM
- FAM perlu menerima semua cadangan penambahbaikan dari AFC untuk kebaikan bola sepak Malaysia
- Semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 meletakkan jawatan untuk elak tindakan keras dari FIFA
- AFC menganggap proses pemulihan lebih baik daripada penggantungan kerana penggantungan boleh merosakkan ekosistem bola sepak negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
