PN kekal bersama empat parti, tiada isu kerjasama - Takiyuddin

BANGI - Perikatan Nasional (PN) adalah satu gabungan dan Pas tidak mengetepikan sesiapa dalam parti gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN sememangnya terdiri daripada empat parti dan kesemua parti terbabit bergerak bersama dalam gabungan berkenaan tanpa sebarang masalah.
“PN ini ada empat parti. Jadi empat parti ini kita bersama. Tiada masalah,” katanya yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN.
Takiyuddin berkata, keadaan sama turut berlaku di peringkat negeri apabila PN kini mentadbir empat negeri termasuk Perlis yang masih kekal di bawah gabungan itu.
“Begitu juga di negeri-negeri. Kita ada empat negeri termasuk Perlis, kita masih lagi PN. Tiada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai program Permukiman Pas yang diadakan di Hotel Tenera, di sini pada Ahad.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan dakwaan bahawa partinya berhasrat mengetepikan Muhyiddin dalam PN.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, sebaliknya Pas mahu meneruskan perpaduan dalam PN.
Menurut beliau, perkara berkaitan perpaduan itu turut disentuh dalam permukiman tahunan berkenaan, namun tidak dibincangkan secara khusus.
Terdahulu, serangan berterusan terhadap Presiden Bersatu dari dalam dan luar parti didakwa bertujuan memaksa Muhyiddin berundur atau menjayakan agenda 'Muhyiddin Exit'.
Bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Dr Marzuki Mohamad dilaporkan mendakwa terdapat individu dalam Bersatu dan parti rakan PN yang menyerang Muhyiddin secara terbuka.
Beliau berkata, ramai pihak kini menunggu untuk menyaksikan kejayaan projek yang digelar sebagai 'Muhyiddin Exit'.
Dakwanya, bagi Pas, masalah PN akan selesai apabila Muhyiddin berundur dan parti itu dapat melantik ahlinya sebagai Pengerusi PN
Menurut beliau, cadangan penubuhan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif PN bukan untuk memperkukuh gabungan, sebaliknya bagi mengehadkan kuasa Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.
Ringkasan AI
- Perikatan Nasional (PN) adalah satu gabungan yang terdiri daripada empat parti dan Pas tidak mengetepikan sesiapa
- Pas, bersama tiga parti lain, bergerak bersama dalam PN tanpa masalah
- PN kini mentadbir empat negeri termasuk Perlis
- Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan dakwaan partinya berhasrat mengetepikan Muhyiddin dalam PN
- Pas mahu meneruskan perpaduan dalam PN dan isu perpaduan disentuh dalam permukiman tahunan tetapi tidak dibincangkan secara khusus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


