'Saya terpaksa bawa anak kecil cari rezeki, dapat RM30 sehari sudah bersyukur’

Beberapa keping gambar Noryani membonceng tiga anaknya yang tular di media sosial sejak Selasa.
Beberapa keping gambar Noryani membonceng tiga anaknya yang tular di media sosial sejak Selasa.
A
A
A

MELAKA - Ketabahan seorang ibu muda membonceng tiga anak kecil di atas motosikal demi mencari rezeki telah tular di media sosial dan mencetuskan rasa simpati ramai terhadap kesungguhannya menempuh kehidupan.

Wanita berkenaan, Noryani Syakira Yaakob, 23, berkata, dia terpaksa membawa anak-anaknya yang berusia antara 10 bulan hingga lima tahun setiap kali keluar bekerja sebagai penghantar makanan bagi membantu meringankan beban suami yang bekerja di bengkel.

Menurutnya, walaupun kasihan melihat anak-anak terpaksa melalui kepayahan termasuk berpanas, namun dia tiada pilihan kerana tiada sesiapa yang boleh menjaga mereka.

"Suami saya hanya bekerja di bengkel dengan gaji sekitar RM1,200 sebulan, dan saya tak sampai hati anak merengek mahukan itu dan ini.

"Sekurang-kurangnya kalau saya bekerja, dapatlah RM20 atau RM30 sehari untuk menampung keperluan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Jelasnya, kejadian yang dirakam orang awam itu sebenarnya berlaku dua minggu lalu ketika dia dalam perjalanan menghantar pesanan nasi goreng dari Bukit Katil ke Hospital Melaka dengan upah RM5.

Noryani berkata, dia baru dua bulan melakukan kerja p-hailing itu dengan membonceng anak sulungnya, Muhammad Rayyan Iskandar, lima tahun dan Muhammad Rayyan Rayfal, dua tahun duduk di belakang manakala yang bongsu, Muhammad Rayyan Maleeq, 10 bulan dikendong di bahagian depan.

"Walaupun pendapatan bersih yang diperoleh sekitar RM20 hingga RM30 sehari hasil kerja dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, namun jumlah itu cukup untuk menampung makan minum kami lima beranak.

"Kadang dapat sikit pun saya bersyukur, dapatlah beli susu, lampin pakai buang dan menampung sewa rumah di Bukit Lintang berjumlah RM350 sebulan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Noryani, sebelum ini dia pernah bekerja sebagai pembantu jualan ayam gunting namun terpaksa berhenti kerana tidak dapat meninggalkan anak-anak.

Katanya, setakat ini dia lebih tenang bekerja sendiri walaupun terpaksa membawa anak ke mana-mana, namun sekurang-kurangnya mereka di depan mata.

"Saya hanya keluar bila cuaca baik, kalau hujan memang tak berani sebab risau keselamatan anak-anak," katanya.

Tindakan Noryani itu menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang memuji ketabahannya selain menyeru agar pihak berwajib menyalurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga muda itu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0299541000567835 atas nama Noryani Syakira Yaakob.

Terdahulu tular di media sosial, Facebook gambar Noryani Syakira membonceng tiga orang anaknya dipercayai ketika dia mendapat pesanan untuk menghantar makanan.

Ringkasan AI

  • Kesungguhan seorang ibu muda membonceng tiga anak mencari rezeki tular di media sosial
  • Noryani Syakira Yaakob bekerja sebagai penghantar makanan untuk membantu suami dengan pendapatan RM1,200 sebulan
  • Dia terpaksa membawa anak berusia 10 bulan hingga lima tahun bekerja kerana tiada penjaga
  • Pendapatan bersih RM20 hingga RM30 sehari dari kerja penghantaran menampung keperluan keluarga
  • Masyarakat terpanggil untuk membantu keluarga tersebut melalui sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!