Larangan warga asing beli minyak masak subsidi bermula 1 Mac

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mewartakan peraturan melarang pembelian minyak masak bersubsidi oleh warga asing berkuat kuasa 1 Mac ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan larangan tersebut akan dilaksanakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dengan punca kuasa daripada Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ujar beliau, peruntukan undang-undang itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuat kuasakan bermula 1 Mac 2026.
“Sebelum ini, terdapat banyak gesaan melarang pembelian oleh warga asing, namun peruncit membangkitkan aspek praktikal iaitu mekanisme pelaksanaan larangan termasuk kaedah pemantauan dan penguatkuasaan.
“Dengan adanya sistem yang hanya membenarkan warganegara membuat pembelian diintegrasikan dengan butiran kad pengenalan, ia akan membolehkan peruncit dan penguat kuasa melaksanakan larangan dengan berkesan,” katanya pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai keberkesanan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dalam pengagihan minyak masak peket bersubsidi kepada warga emas dan golongan miskin.
Menurut Armizan, KPDN turut menyedari kebimbangan pelaksanaan aplikasi eCOSS memberi kesan kepada warga emas, golongan miskin dan penduduk di luar bandar yang tidak mempunyai akses kepada capaian kemudahan internet.
“Atas sebab itu, KPDN telah mengambil langkah-langkah berikut termasuk pelaksanaan penggunaan aplikasi Mobile eCOSS diperluaskan secara berperingkat bermula pada bulan Mei 2025.
“Dimulakan dengan kawasan Putrajaya, di susuli premis Program Jualan Rahmah Madani dan diikuti dengan negeri Johor atas kerjasama Kerajaan Negeri Johor dan kemudiannya di premis terpilih di negeri lain,” ujarnya.
Kata beliau, pada peringkat rintis, pembelian melalui kaedah manual masih dibenarkan dan perekodan transaksi secara manual.
Ujarnya, pendekatan pembelian secara manual atau kaedah bersesuaian juga akan dikenal pasti secara bersasar di premis peruncitan terpilih yang masih belum mempunyai capaian kemudahan internet
“Bantuan dan sokongan di premis jualan akan diberikan oleh peruncit dengan modul khas bagi kumpulan warga emas atau golongan miskin yang tidak mempunyai telefon mudah alih dengan rangkaian internet.
“Sistem eCOSS juga akan diintegrasikan dengan platform MyKasih untuk membolehkan opsyen tambahan pembelian mengguna pakai Kad Pengenalan sebagaimana program Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
“KPDN sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk merealisasikan hasrat ini,” kata beliau.
Ringkasan AI
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bakal larang pembelian minyak masak bersubsidi oleh warga asing bermula 1 Mac
- Undang-undang larangan tersebut akan dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974
- Peruncit akan menggunakan sistem yang membolehkan hanya warga negara membuat pembelian berdasarkan butiran kad pengenalan
- Pelaksanaan sistem eCOSS untuk pembelian minyak masak peket bersubsidi akan diperluaskan secara berperingkat mulai Mei 2025
- Sistem eCOSS akan diintegrasikan dengan platform MyKasih bagi memudahkan pembelian untuk golongan yang tidak mempunyai akses internet
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


