MP Tenggara sumbang RM66,300 buat pelajar cemerlang SMK Bandar Tenggara

Manndzri (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena program Semarak Jaya Pendidikan Parlimen Tenggara di SMK Bandar Tenggara pada Khamis.
Manndzri (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena program Semarak Jaya Pendidikan Parlimen Tenggara di SMK Bandar Tenggara pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM – Sebanyak RM66,300 disumbangkan tahun ini kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara yang meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, ini merupakan tahun ketiga pihaknya menganjurkan program Semarak Jaya Pendidikan Parlimen Tenggara dan seramai 181 permohonan diterima setakat tarikh tutup pada 5 September lalu.

Menurutnya, program itu membuktikan komitmen Parlimen Tenggara dalam memastikan kejayaan dan keselamatan anak-anak pelajar sentiasa dihargai.

Manndzri (tengah) bergambar bersama jemputan dan peserta program Semarak Jaya Pendidikan Parlimen Tenggara di SMK Bandar Tenggara pada Khamis.
Manndzri (tengah) bergambar bersama jemputan dan peserta program Semarak Jaya Pendidikan Parlimen Tenggara di SMK Bandar Tenggara pada Khamis.

“Daripada 181 permohonan, 156 pelajar layak menerima sumbangan. Bagi kategori SPM, pelajar yang memperoleh 5A dan ke atas menerima sumbangan bermula RM50 bagi setiap 1A.

“Bagi STPM, pelajar yang mencapai ‘pointer’ 3.50 menerima RM50 bagi setiap subjek dan 4.00 menerima RM100 bagi setiap subjek. Penerima diploma (RM300), manakala ijazah sarjana muda (RM500),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menyampaikan sumbangan tersebut dalam satu majlis di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tenggara.

Menerusi program sama, Manndzri yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) turut merasmikan pelancaran Kad Pintar Pelajar kepada 200 pelajar SMK Bandar Tenggara.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kad pintar tersebut ialah inisiatif berteknologi tinggi yang memperkenalkan kemudahan kecerdasan buatan (AI) khusus untuk membantu pelajar mengakses sumber pembelajaran digital, sistem e-pembelajaran, rekod akademik serta perkhidmatan pendidikan dengan lebih efisien dan interaktif.

“Selain kemudahan pembelajaran, kad pintar ini dilengkapi ciri keselamatan pintar. Sekiranya berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan pemegang kad, sistem keselamatan akan menghantar notifikasi kecemasan automatik kepada waris atau pihak berkuasa berkaitan.

“Teknologi ini direka khas untuk memberi tindak balas pantas dalam situasi kecemasan, sekali gus meningkatkan keselamatan pelajar dalam persekitaran harian mereka.

“Inisiatif seperti ini diharap dapat menyemarakkan semangat belajar, memperkasa pelajar dengan teknologi dan membina masa depan cemerlang untuk generasi muda,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • RM66,300 disumbangkan kepada pelajar cemerlang SMK Bandar Tenggara
  • Tahun ketiga program Semarak Jaya Pendidikan Parlimen Tenggara dijalankan
  • Sebanyak 156 pelajar layak menerima sumbangan berdasarkan pencapaian akademik
  • Kad Pintar Pelajar diperkenalkan untuk akses pembelajaran digital dan keselamatan
  • Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keselamatan dan memperkasa pelajar dengan teknologi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!