Pelajar cemerlang terlantar di katil melawan sakit

MELAKA – Dulu dia sentiasa berada di kedudukan teratas kelas, namun kini seorang pelajar cemerlang hanya mampu terlantar di katil dengan tiub menjadi pengganti suara selepas disahkan menghidap ketumbuhan di otak.
Pelajar Sekolah Tinggi Perempuan Melaka, Nurfatimah Jeffri, 16, yang sepatutnya sibuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan kini berubah sekelip mata selepas keupayaannya untuk bergerak terbatas.
Ibunya, Noorfadillah Mohd Rashid, 49, berkata, dia terpaksa mengorbankan kerjaya dan cuti bergaji penuh demi menjaga anaknya sepenuh masa.
Menurutnya, gadis berjiwa kental itu hanya bergantung kepada susu khas melalui tiub untuk terus hidup.
“Semuanya bermula Mei lalu apabila Fatimah mengadu sakit kepala.
"Pada awalnya doktor kata resdung dan alahan kucing, tapi selepas imbasan CT Scan di Hospital Melaka, ada air di kepalanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Semabok Jaya, di sini pada Jumaat.
Jelasnya selepas pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) Fatimah ditempatkan di ICU kerana jangkitan kuman di paru-paru dan sawan.
Ujarnya, doktor mengesyorkan mesin sedut kahak berharga RM3,000, namun dia hanya mampu membeli mesin berharga RM400 yang perlu disambung kepada bekalan elektrik.
"Sejak itu anak saya hanya bergantung pada mesin pernafasan dan tiub di leher.
"Setiap setengah jam kahak perlu disedut, sekiranya Fatimah ke HKL, saya terpaksa berhenti di R&R semata-mata untuk cari plag bagi menyambung mesin," katanya lagi.
Sementara itu bapanya, Jeffri Zainon, 54, berkata, mereka berdepan kos hampir RM3,000 sebulan bagi membeli susu khas, lampin pakai buang, ubat-ubatan selain kos perjalanan berulang-alik ke Kuala Lumpur.
“Sejak rawatan bermula, kami sudah belanja hampir RM10,000.
"Sekarang hanya bergantung pada separuh gaji isteri yang memang tak cukup untuk perubatan dan sara hidup," ujarnya.
Pasangan itu kini hanya mampu berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan demi meringankan beban yang semakin menghimpit.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7629805198 (Jeffri Bin Zainon) atau hubungi 011-15412116.
Ringkasan AI
- MELAKA – Seorang pelajar cemerlang terpaksa terlantar di katil dengan tiub menjadi pengganti suara akibat ketumbuhan di otak
- Ibunya mengorbankan kerjaya dan cuti bergaji penuh untuk menjaga anaknya sepenuh masa
- Pelajar itu bergantung kepada susu khas melalui tiub untuk terus hidup selepas disahkan menghidap penyakit tersebut pada bulan Mei lalu
- Kos perubatan dan sara hidup hampir RM3,000 sebulan, termasuk susu khas, lampin pakai buang, dan ubat-ubatan
- Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7629805198 (Jeffri Bin Zainon) untuk membantu keluarga tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


