Bayi menderita akibat 600 kesan cucukan jarum

BEIJING - Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan di China dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal selepas ditemui mempunyai ratusan kesan cucukan jarum di seluruh badannya dipercayai akibat perbuatan ibunya sendiri yang menggunakan kaedah rawatan tradisional secara ekstrem.
Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), kejadian itu terbongkar selepas seorang pakar bedah tulang belakang, Dr Sui Wenyuan, berkongsi kes tersebut melalui video dalam talian yang kemudiannya mencetuskan kemarahan masyarakat.
Dr Sui yang bertugas di Pusat Tulang Belakang Hospital Xinhua di bawah Universiti Perubatan Shanghai Jiao Tong berkata, bayi tersebut dibawa ke Jabatan Pediatrik Hospital Rakyat Daerah Mojiang, wilayah Yunnan pada 16 Disember lalu akibat demam panas dan sawan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tubuh bayi itu dipenuhi kesan cucukan jarum, dianggarkan antara 500 hingga 600 tusukan,” katanya.
Menurut Dr Sui, ibu bayi berkenaan yang dikenali dengan nama keluarga Dao didakwa mencucuk anaknya menggunakan jarum setiap kali bayi itu menangis, diserang demam atau dianggap berkelakuan tidak baik.
Perbuatan tersebut dilakukan atas kepercayaan ia mampu ‘mengeluarkan darah kotor’ sebagai rawatan tradisional.

Dalam kejadian paling serius, wanita itu dipercayai telah mencucuk jarum jahit kasut ke bahagian leher bayi tersebut sehingga jarum berkenaan patah dan serpihannya tertinggal di tulang belakang leher, sekali gus memerlukan pembedahan segera.
“Pembedahan itu amat mencabar kerana ibu bapa tidak pasti bentuk sebenar jarum tersebut dan sama ada ia mempunyai duri. Jika dikeluarkan secara salah, ia boleh menyebabkan kecederaan serius pada tisu saraf,” jelas Dr Sui.
Beliau berkata pembedahan berjaya dilakukan pada hari sama bayi itu diperiksa dan suhu badannya yang tinggi dipercayai berpunca daripada jangkitan karat pada jarum yang digunakan.
Selepas tiga hingga empat hari rawatan, keadaan bayi tersebut dilaporkan stabil dan dipindahkan keluar dari unit rawatan rapi.
Rakaman dan gambar kecederaan bayi itu yang tersebar di media sosial menunjukkan kesan tusukan serta parut gelap di bahagian kepala, kaki dan badan, sekali gus mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan pengguna internet di China.

Pada 21 Januari lalu, satu pasukan penyiasatan bersama melibatkan pihak polis, suruhanjaya kesihatan, jabatan kebajikan masyarakat dan persekutuan wanita mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan bahawa kecederaan tersebut memang dilakukan oleh ibunya sendiri.
Pihak berkuasa memaklumkan wanita itu mempunyai tahap pendidikan rendah, kurang pengetahuan saintifik serta menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi.
Namun, setakat ini masih belum jelas sama ada tindakan undang-undang akan dikenakan terhadapnya.
Walaupun China mempunyai undang-undang bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan, kes ini sekali lagi menimbulkan persoalan tentang penguatkuasaan serta tahap kesedaran masyarakat terhadap hak dan keselamatan kanak-kanak.
Insiden tersebut terus mengundang kecaman ramai, dengan sebahagian netizen menyifatkan perbuatan itu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan, malah ada yang menggesa agar bayi tersebut tidak lagi dibesarkan oleh ibu bapanya sendiri.- Agensi
Ringkasan AI
- Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan di China kritikal akibat ratusan cucukan jarum oleh ibunya menggunakan kaedah rawatan tradisional
- Bayi dibawa ke hospital akibat demam panas dan sawan, pemeriksaan lanjut mendapati 500 hingga 600 kesan cucukan jarum di tubuh
- Ibu bayi, Dao, mencucuk anaknya atas kepercayaan tradisional itu mampu 'mengeluarkan darah kotor'
- Serpihan jarum jahit kasut patah di leher bayi memerlukan pembedahan segera, suhu tinggi badan bayi berpunca dari jangkitan karat jarum
- Penyiasatan rasmi mengesahkan ibu bertanggungjawab, mengundang kecaman ramai dan menimbulkan persoalan tentang perlindungan kanak-kanak di China
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

