Iran sedia hadapi perang atau rundingan, tolak sebarang paksaan - Araghchi

Abbas Araghchi. Foto Agensi
Abbas Araghchi. Foto Agensi
A
A
A

ANKARA - Iran bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk konflik ketenteraan mahupun rundingan diplomatik, namun tidak akan menerima sebarang bentuk paksaan atau syarat yang dikenakan secara sepihak, kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, ketika ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) terus memuncak.

Araghchi berkata demikian pada Jumaat dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Turkiye, Hakan Fidan, selepas pertemuan dua hala di Ankara.

“Iran bersedia menyertai rundingan nuklear sekiranya ia dijalankan atas kedudukan yang setara, berasaskan kepentingan bersama serta saling menghormati,” katanya.

Menurut beliau, Teheran tidak menolak diplomasi, namun menegaskan rundingan tidak boleh berlangsung di bawah ancaman ketenteraan.

“Jika rundingan itu adil dan saksama, Iran bersedia untuk menyertainya. Namun kami sama sekali tidak akan menerima arahan, paksaan atau tekanan,” tegasnya.

Araghchi menyifatkan lawatannya ke Turkiye sebagai amat bermakna dan menggambarkan perbincangan dengan Fidan sebagai 'baik dan bermanfaat'.

Beliau turut menegaskan hubungan Iran-Turkiye sebagai hubungan kejiranan dan persahabatan yang telah teruji dalam saat senang dan sukar.

Beliau berkata, Iran mengalu-alukan sebarang inisiatif yang mampu membawa kepada keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat, meredakan ketegangan serta menggagalkan apa yang disifatkannya sebagai rancangan jahat Israel.

“Iran menyokong pendekatan Turkiye dalam mempromosikan dialog serantau dan bersedia menyertai sebarang rundingan antara negara-negara rantau ini yang bertujuan mencapai keamanan, meredakan konflik dan kestabilan berkekalan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai hubungan dengan Washington, Araghchi berkata, kerajaan AS telah berusaha menghubungi Teheran melalui beberapa perantara.

“Iran tidak mempunyai masalah dengan rundingan. Namun rundingan tidak boleh terbentuk di bawah bayangan ancaman. Mereka mesti menghentikan ancaman dan bersedia untuk rundingan yang adil,” katanya.

Beliau menegaskan Iran tidak pernah meninggalkan diplomasi dan tidak akan berbuat demikian pada masa hadapan.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau akan bertemu dengan pegawai AS dalam masa terdekat, Araghchi berkata tiada sebarang perancangan sedemikian setakat ini.

“Kami masih perlu menetapkan perkara asas termasuk format, lokasi dan skop rundingan. Saya telah berbincang secara mendalam mengenai perkara ini bersama Fidan dan kami akan meneruskan rundingan dengan rakan-rakan serantau,” katanya.

Dalam pada itu, Araghchi mengeluarkan amaran keras terhadap ancaman ketenteraan AS, sambil menegaskan Iran berada dalam keadaan kesiapsiagaan penuh.

“Kami telah menyatakan berulang kali, dan saya ulangi sekali lagi: Iran bukan sahaja bersedia untuk rundingan, tetapi juga bersedia untuk perang,” katanya.

Beliau berkata, Iran kini berada dalam keadaan lebih bersedia berbanding sebelum konflik 12 hari pada Jun lalu, merujuk kepada serangan AS-Israel ke atas Iran ketika rundingan tidak langsung mengenai isu nuklear sedang berlangsung dengan pengantaraan Oman.

Menurutnya, sebarang konflik baharu, khususnya jika melibatkan penglibatan langsung AS, berpotensi berkembang melangkaui perang dua hala dan mencetuskan ketidakstabilan lebih besar di rantau itu.

“Saya berharap rasionaliti mengatasi segala-galanya dan pihak yang cuba menyeret rantau ini ke dalam peperangan besar gagal mencapai matlamat mereka,” katanya.

Araghchi turut menegaskan keupayaan pertahanan Iran tidak akan menjadi bahan rundingan.

“Keupayaan pertahanan dan sistem peluru berpandu Iran tidak akan dibincangkan dalam mana-mana rundingan. Keselamatan rakyat Iran adalah urusan kami sendiri dan kami akan terus mengekalkan serta memperkukuhkan keupayaan pertahanan negara,” katanya.

Beliau menambah Iran dan Turkiye sependapat bahawa perkembangan semasa di rantau ini semakin berbahaya akibat campur tangan kuasa luar yang disifatkan sebagai tidak sah, selain menuduh Israel berusaha mencetuskan peperangan, melemahkan negara-negara serantau dan meneruskan agenda peluasan wilayahnya. - Agensi

Ringkasan AI

  • Iran bersedia menghadapi kemungkinan konflik ketenteraan atau rundingan diplomatik tanpa menerima paksaan
  • Rundingan nuklear harus berdasarkan kedudukan yang setara dan kepentingan bersama
  • Iran tidak akan menerima arahan, paksaan atau tekanan dalam rundingan
  • Hubungan Iran-Turkiye ditekankan sebagai persahabatan yang kuat
  • Iran dan AS belum merancang pertemuan bagi rundingan, tegaskan rundingan tidak boleh dibawah ancaman

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!