Enam lagi kematian akibat Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Enam kematian berkaitan termasuk satu kes melibatkan kematian pertama warga asing dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan jumlah itu, kumulatif bagi kes kematian meningkat kepada 43.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan enam kes kematian yang dilaporkan ke CPRC hari ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, kes kematian ke-38 melibatkan seorang perempuan berumur 48 tahun yang merupakan kes ke-2,269 positif dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi serta merupakan kontak kepada kes ke-2,750.

Jelasnya, pesakit telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan Rabu lepas sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.04 petang semalam.

Beliau berkata, kes kematian ke-39 melibatkan kes positif ke-2,626 yang merupakan seorang lelaki berumur 69 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis serta darah tinggi.

"Pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke negara Arab Saudi dan meninggal dunia di rumahnya pada 27 Mac 2020 sebelum jenazah di bawa ke Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-40 melibatkan kes positif ke-2, 627 iaitu lelaki tersebut berusia 69 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pesakit dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia jam 1.03 petang pada 26 Mac.

Tambahnya, kes kematian ke-41 melibatkan warga Indonesia yang berumur 40 tahun dan pesakit positif ke-1,275 yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia jam 1.38 pagi tadi, manakala kematian ke-42 iaitu kes positif ke-2,628 melibatkan warga emas berusia 81 tahun dan mempunyai penyakit jantung.

"Lelaki itu dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia jam 7.09 pagi tadi," katanya.

Pesakit intubasi bertambah

Sementara itu, pesakit yang diintubasi (memerlukan ventilator) di Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin bertambah saban hari.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 94 kes dirawat di ICU, dengan 60 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, trend peningkatan tersebut menimbulkan kebimbangan KKM.

"Peralatan dan tempat kita sudah ada. Apa yang peting kementerian sedang mempergiatkan usaha untuk meningkatkan sumber manusia terutama pakar bius dan jururawat yang berpengalaman untuk merawat mereka.

"Kita akan kerahkan pakar dan jururawat daripada hospital lain untuk membantu selain mendapatkan bantuan daripada pihak hospital swasta, " katanya.

Setakat jam 12 tengah hari hari ini, terdapat 140 kes baharu dilaporkan sekali gus meningkatkan jumlah kumulatif positif sebanyak 2,766 kes.

Jelasnya, terdapat 58 kes telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan sebanyak 537 kes pulih atau 19.4 peratus daripada jumlah keseluruhan.