Elak turunkan tujuh pemain warisan lawan Vietnam

(Dari kiri) Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Imanol Machuca, antara empat daripada tujuh pemain warisan yang digantung FIFA. Foto Malaysia NT
(Dari kiri) Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Imanol Machuca, antara empat daripada tujuh pemain warisan yang digantung FIFA. Foto Malaysia NT
A
A
A

BARISAN kejurulatihan skuad Harimau Malaya dinasihatkan tidak terburu-buru menyenaraikan tujuh pemain warisan dalam aksi terakhir Kumpulan F menentang Vietnam di Hanoi pada 31 Mac depan.

Pemerhati bola sepak negara, Zakaria Rahim menegaskan pengurusan pasukan perlu meneliti dan menafsir keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mengarahkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap pemain terbabit dengan sebaik mungkin.

Jelas bekas pengurus pasukan Selangor itu, tindakan menurunkan pemain berkenaan membawa risiko yang sangat besar, termasuk kemungkinan kemenangan ditarik balik dan mata percuma diberikan kepada pihak lawan sekiranya didapati melanggar peraturan, seperti yang berlaku dalam tiga perlawanan terdahulu.

“Penangguhan pelaksanaan belum bermakna mereka dibebaskan sepenuhnya. Jika pemain diturunkan sementara menunggu keputusan penuh (full verdict) oleh CAS dan dalam perlawanan itu kita menang, risikonya ialah keputusan perlawanan akan ditarik balik.

“Kemenangan boleh diberikan kepada pihak lawan sebagaimana tiga perlawanan sebelum ini. Ia ibarat seorang pesalah yang telah dijatuhkan hukuman tetapi mendapat perintah penangguhan sementara menanti keputusan Mahkamah Rayuan.

“Kalau dia digantung kerja, dia tetap tidak boleh masuk pejabat. Pasportnya tetap tidak dipulangkan jika ditahan mahkamah, cuma dia tidak duduk di dalam penjara,” katanya di laman Facebook miliknya.

Zakaria yang juga bekas pengurus kepada penyerang legenda negara, Safee Sali menambah, walaupun kehadiran tujuh pemain itu mampu membantu skuad negara di Hanoi namun risiko yang perlu ditanggung adalah terlalu tinggi dan wajar dielakkan.

Isnin lalu, CAS membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang didapati bersalah memalsukan dokumen.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Konfederesi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John mengakui masih ‘kabur’ dan menunggu butiran lengkap daripada FIFA berkenaan status kebenaran tujuh pemain Harimau Malaya dalam aksi peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Jelas Windsor, pihaknya sedang menunggu maklumat penuh FIFA yang sebelum ini sudah mengumumkan hukuman pemotongan mata terhadap pasukan Malaysia dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang dilalui tahun lalu di mana tujuh pemain berkenaan turut beraksi.

Untuk rekod, keputusan CAS mengarahkan Penangguhan Pelaksanaan adalah atas permohonan tujuh pemain berkaitan penggantungan 12 bulan dan ia tidak berkaitan dengan pertikaian pemotongan mata dalam aksi antarabangsa bersama skuad negara.

Begitupun, Windsor mengesahkan tujuh pemain itu sebaliknya boleh beraksi semula bersama kelab masing-masing buat sementara waktu sepertimana arahan dikeluarkan CAS itu.

Ringkasan AI

  • Barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya dinasihatkan tidak terburu-buru menyenaraikan tujuh pemain warisan dalam aksi terakhir Kumpulan F menentang Vietnam
  • Pengurusan pasukan perlu meneliti dan menafsir keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mengarahkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap pemain terbabit
  • Menurunkan pemain berkenaan membawa risiko termasuk kemungkinan kemenangan ditarik balik dan mata percuma diberikan kepada pihak lawan
  • CAS membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain yang didapati bersalah memalsukan dokumen
  • Setiausaha Agung Konfederesi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John mengaku masih menunggu butiran lengkap daripada FIFA berkenaan status kebenaran tujuh pemain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!