Inkues Zara Qairina: Kes jadi isu besar sebab tular di media sosial - Saksi

Allahyarham Zara Qairina
Allahyarham Zara Qairina
A
A
A

KOTA KINABALU – Saksi ke-61 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa beliau hanya menghadiri satu mesyuarat tergempar yang diadakan pihak sekolah selepas insiden yang menimpa pelajar tersebut.

Mohd Sham M Nasir, 27, yang juga guru mata pelajaran Geografi berkata, beliau menghadiri mesyuarat tergempar itu pada 17 Julai tahun lalu di bilik mesyuarat sekolah bagi membincangkan mengenai Allahyarham Zara Qairina.

“Saya tidak berapa ingat, tetapi apa yang saya ingat tentang arwah, masa itu kes sudah mula tular di media sosial. Apa yang saya ingat, kami perlu bersiap sedia untuk segala kemungkinan.

“Bagi saya, kes ini jadi isu besar sebab masuk media sosial,” katanya semasa memberi keterangan di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri yang meminta beliau menjelaskan keterangannya berhubung perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tergempar tersebut.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai mesyuarat itu, beliau turut mendedahkan insiden pemeriksaan mengejut atau 'spotcheck' yang berlaku pada 14 Julai 2025.

“Saya rasa mungkin sebab kami bercerita tentang Zara, jadi saya pun bersuara mengenai kes yang berlaku pada 14 Julai itu,” katanya.

Beliau kemudiannya diminta menjelaskan lebih lanjut mengenai kenyataannya tentang keperluan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana isu yang menimpa Zara Qairina dijangka menjadi besar.

“Bagi saya, itu untuk memberi amaran kepada guru-guru supaya bersedia kerana ini kali pertama kami berhadapan dengan kejadian seperti ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami diarahkan supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi,” jelasnya sambil memaklumkan mesyuarat tersebut berlangsung selama lebih sejam.

Shahlan bersama pasukannya iaitu Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat dalam inkues yang telah berlangsung sehingga hari ke-58.

Prosiding akan bersambung Isnin depan dengan saksi seterusnya iaitu ibu kepada pelajar A, manakala mahkamah turut menetapkan Jumaat depan sebagai hari untuk melawat sekolah berkenaan di Papar.

Terdahulu, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQE1).

 

 

Ringkasan AI

  • Saksi ke-61 hadir satu mesyuarat tergempar sekolah selepas insiden Zara Qairina
  • Mohd Sham, guru geografi berusia 27 tahun, hadiri mesyuarat pada 17 Julai tahun lalu
  • Mesyuarat bincang kes Zara yang tular di media sosial
  • Insiden pemeriksaan mengejut berlaku pada 14 Julai 2025 disebut dalam mesyuarat
  • Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu dan meninggal di hospital keesokan harinya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!