Makin ramai penjaga pesakit kronik terima bantuan JKM

JKM memberikan bantuan kewangan RM500 sebulan bagi meringankan beban penjaga, sekali gus menggalakkan mereka terus menjaga ahli keluarga yang memerlukan. - Gambar hiasan
JKM memberikan bantuan kewangan RM500 sebulan bagi meringankan beban penjaga, sekali gus menggalakkan mereka terus menjaga ahli keluarga yang memerlukan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Penerima Bantuan Penjagaan OKU Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar (BPT) meningkat ketara kepada 32,653 orang dengan peruntukan berjumlah RM117 juta setakat Julai tahun ini, berbanding 29,448 (RM174.5 juta) pada 2024 dan 28,281 orang (RM165.6 juta) bagi 2023.

JKM dalam satu kenyataan berkata, setiap individu itu menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 sebulan yang bertujuan meringankan beban penjaga, sekali gus menggalakkan mereka terus menjaga ahli keluarga yang memerlukan.

“Semasa Belanjawan Tahun 2025, kerajaan telah menaikkan syarat kelayakan pendapatan isi rumah bagi pertimbangan BPT daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan.

“Kenaikan syarat kelayakan ini telah memberi peluang kepada lebih ramai individu menerima bantuan BPT.

“Kriteria kelayakan untuk menerima bantuan BPT adalah warganegara dan bermastautin di Malaysia, pemohon adalah penjaga yang memberikan penjagaan rapi kepada orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik terlantar atau tidak terlantar,” katanya.

Antara ciri lain ialah pesakit kronik tidak terlantar yang memerlukan rawatan berterusan bagi tempoh minimum sekurang-kurangnya tiga bulan layak dipertimbangkan atas nama pesakit sendiri.

Sekiranya OKU, pesakit kronik terlantar tidak mempunyai penjaga atau yang penjaganya bukan warganegara Malaysia, bantuan boleh diberikan ke atas nama pesakit itu sendiri.

Jelas JKM, terdapat pelbagai cabaran dihadapi dalam menyalurkan bantuan khususnya golongan OKU terlantar dan pesakit kronik yang tinggal jauh di kawasan luar bandar seperti Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun katanya, beberapa langkah telah diambil bagi menangani cabaran tersebut.

Artikel Berkaitan:

“JKM melaksanakan pengoperasian 108 buah Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD), Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan (PKMJ) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan di bawah JKM dan termasuklah permohonan bantuan kewangan.

“Pemohon juga boleh hadir ke mana-mana PKMD yang terdekat dengan tempat tinggal mereka untuk mendapatkan perkhidmatan diperlukan di bawah JKM,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Penerima Bantuan Penjagaan OKU Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar meningkat kepada 32,653 orang dengan peruntukkan RM117 juta setakat Julai tahun ini
  • Setiap penerima bantuan mendapatkan RM500 sebulan untuk meringankan beban penjaga
  • Syarat kelayakan pendapatan isi rumah bagi BPT dinaikkan dari RM3,000 kepada RM5,000 sebulan pada Belanjawan Tahun 2025
  • Kriteria kelayakan mencakupi warganegara Malaysia yang memberi penjagaan kepada OKU atau pesakit kronik, terlantar atau tidak
  • JKM mengoperasikan 108 buah Pejabat Kebajikan Masyarakat di seluruh negara untuk memudahkan permohonan dan penyaluran bantuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!