SEED2030 teras baharu PKPS, perkukuh sekuriti makanan Selangor

SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melakar hala tuju baharu pembangunan agrobisnes negeri menerusi pelancaran Pelan Transformasi Agribisnis PKPS 2026–2030 (SEED2030).
SEED 2030 adalah satu blueprint strategik lima tahun yang dirangka bagi memperkukuh kedudukan Selangor sebagai peneraju agenda sekuriti makanan berasaskan wilayah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, SEED2030 menjadi kesinambungan kepada pelan strategik terdahulu bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang berjaya mencapai sasaran ditetapkan, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk fasa pengukuhan seterusnya.
Menurut beliau, SEED2030 dirangka selari dengan Dasar Agromakanan Negara dan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA), dengan matlamat memastikan ekosistem agromakanan negeri kekal mampan, berdaya tahan dan inklusif, khususnya dalam suasana ketidaktentuan rantaian bekalan makanan global.

“Tempoh 2021 hingga 2025 merupakan fasa pembinaan asas. Kita menyemai benih dari segi struktur, keupayaan dan ekosistem.
"Bagi tempoh 2026 hingga 2030, fokus PKPS adalah untuk memperkukuh, memperhebat dan memaksimumkan impak semua inisiatif itu supaya manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat Selangor,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Khairil berkata, pengalaman mengurus krisis sepanjang lima tahun lalu, termasuk pandemik Covid-19 dan gangguan logistik global, menjadi titik penting dalam perubahan pendekatan PKPS daripada bersifat reaktif kepada kesiapsiagaan jangka panjang.
Menurut beliau, antara manifestasi utama pendekatan baharu itu ialah penubuhan Gudang Makanan Selangor (GMS) sebagai rizab makanan strategik negeri.
“SEED2030 bukan sekadar dokumen perancangan. Ia adalah denyut nadi PKPS dalam membina kubu pertahanan makanan negeri secara berstruktur dan sistematik.
"Kita tidak mahu menunggu krisis berlaku sebelum bertindak,” ujarnya.
Pada masa ini, GMS mempunyai kapasiti simpanan 5,000 tan beras dan 1,000 tan daging, dengan sasaran peluasan keupayaan simpanan sehingga tiga hingga enam bulan dalam tempoh lima tahun akan datang bagi meningkatkan daya tahan bekalan makanan negeri.
Selain beras dan daging, PKPS turut memastikan kesiapsiagaan stok ayam, ikan serta bekalan asas lain melalui kerjasama strategik bersama pemain industri dan sektor swasta, membolehkan bekalan digerakkan dengan pantas sekiranya berlaku gangguan rantaian bekalan atau situasi luar jangka.
SEED2030 digerakkan menerusi lima Teras Strategik, iaitu pengukuhan dan kelestarian organisasi; peningkatan produktiviti dan hasil; inovasi pertanian dan pendigitalan; pembangunan ekosistem agropreneur; serta Ehsan Go Global.
Melalui pendekatan bersepadu, PKPS menyatukan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, peruncitan dan logistik di bawah satu ekosistem yang disokong empat anak syarikat utama, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta meningkatkan kecekapan operasi.
Penggunaan teknologi
Mohamad Khairil berkata, penggunaan teknologi seperti automasi, analisis data, sistem maklumat geografi (GIS) dan kecerdasan buatan (AI) menjadi pemacu utama peningkatan produktiviti dan pengurangan pembaziran.
“Keputusan kini dibuat berasaskan data. Kita boleh mengenal pasti keperluan baja, air dan pengurusan tanah dengan lebih tepat, sekali gus meningkatkan hasil dan mengawal kos,” ujarnya.
Dalam aspek pengeluaran, PKPS kini mengurus hampir 1,000 hektar Selangor Fruit Valley (SFV) serta lebih 5,000 hektar ladang sawit di seluruh negara.
Melalui amalan perladangan lestari dan peningkatan produktiviti, PKPS menyasarkan pengeluaran 734,000 tan sawit menjelang 2030.
Hasil sektor perladangan itu akan disalurkan semula kepada rakyat Selangor menerusi pengukuhan program Jualan Ehsan Rahmah (JER), projek makanan berimpak tinggi serta operasi Gudang Makanan Selangor.
SFV pula terus diposisikan sebagai Agriculture Centre of Excellence, merangkumi latihan bakat, ujian teknologi, pemindahan ilmu dan pembangunan inovasi.
PKPS menyasarkan 500,000 pengunjung menjelang 2030, sekali gus menjadikan SFV sebagai aset agro-pelancongan strategik negeri.
Dalam sektor padi, PKPS mencatatkan peningkatan ketara produktiviti selepas mengambil alih kira-kira 242 hektar (600 ekar) sawah bermasalah di Sekinchan, apabila hasil meningkat daripada sekitar tiga hingga empat tan sehektar kepada sehingga lapan tan sehektar, melepasi piawaian eksport nasional.
Sasar unjuran jualan keseluruhan RM1.54 bilion
Jenama Ehsan pula berkembang daripada inisiatif intervensi sosial kepada platform komersial mampan di bawah SEED2030.
PKPS menyasarkan peluasan rangkaian Ehsan Mart daripada 16 kepada 200 cawangan, dengan unjuran jualan keseluruhan mencecah RM1.54 bilion dalam tempoh lima tahun.
Produk Ehsan juga telah menembusi pasaran antarabangsa apabila mula dieksport ke Australia pada suku terakhir 2025, dengan sasaran menembusi pasaran Timur Tengah dan Eropah serta mencapai 100 SKU eksport.
Dalam perkembangan berkaitan, PKPS turut melangkah ke industri tenusu menerusi Ehsan Dairy Farm di Sungai Tengi yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mac ini.
Projek itu menyasarkan pengeluaran 32,000 liter susu sehari menjelang 2030, sekali gus mengukuhkan rantaian pengeluar ke pengguna domestik.
SEED2030 mandat strategik
Mengulas petunjuk prestasi utama (KPI), Mohamad Khairil menegaskan PKPS mengamalkan keseimbangan antara keperluan menjana keuntungan dan tanggungjawab sosial sebagai agensi kerajaan negeri.
“Keuntungan penting bagi memastikan kelangsungan organisasi dan membolehkan pulangan disalurkan semula kepada rakyat, pembangunan bakat dan pengukuhan sumber manusia.
"Namun mandat utama PKPS kekal memastikan sektor pertanian negeri berkembang secara mampan dan inklusif,” ujarnya.
Beliau menegaskan SEED2030 adalah mandat strategik untuk memastikan pergerakan PKPS lebih tersusun, berimpak dan berdaya saing.
"Langkah ini sekali gus meletakkan Selangor sebagai model pelaksanaan sekuriti makanan berasaskan wilayah di peringkat nasional dan global," tambahnya.
Sasaran menyeluruh
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri Selangor melalui PKPS melancarkan Pelan Transformasi Agribisnis 2026–2030 (SEED 2030) bagi memperkukuh sekuriti makanan negeri dan menjamin akses makanan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Pelan strategik lima tahun itu merangkumi sasaran menyeluruh melibatkan sektor perladangan, ternakan, tenusu, peruncitan dan pasaran antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, pengeluaran kelapa sawit disasarkan meningkat 64.9 peratus kepada 735,000 tan metrik berbanding 445,000 tan metrik bagi tempoh 2021 hingga 2025.
“Sektor ternakan ayam pula disasarkan mencapai 20.1 juta ekor, berbanding 6.31 juta ekor dalam tempoh sama sebelum ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

