Bekas pensyarah tak mengaku menipu untuk dilantik konsultan program

Tertuduh (tengah) diiringi peguamnya ketika hadir ke Mahkamah Butterworth pada Khamis.
Tertuduh (tengah) diiringi peguamnya ketika hadir ke Mahkamah Butterworth pada Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang bekas pensyarah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu untuk dilantik sebagai konsultan program universiti dengan bayaran RM20,000 pada 2024.

Tertuduh V Kathirkamanathan, 73, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memperdayakan Zalinah Abdul Rahman untuk mencadangkan kepada RUMC bagi melantiknya sebagai Programme Consultant - Master of Science of Occupational Therapy dengan bayaran RM20,000 kepadanya bagi membangunkan modul Program Terapi Pekerjaan walaupun tertuduh mengetahui yang lantikan itu melanggar kontrak kerja antara dirinya dengan Universiti Perdana.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat RCSI & UCD Malaysia Campus (RUMC) di George Town pada 26 September 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, dengan denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam, Eric Paulsen.

Tertuduh yang juga bekas Ketua Jabatan Terapi Pekerjaan dengan pengalaman hampir 50 tahun dalam bidang itu dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 berserta seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur yang berdekatan tempat tinggalnya pada setiap bulan bermula 1 Mac depan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan kes akan disebut semula 1 April depan bagi serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Bekas pensyarah didakwa menipu untuk dilantik sebagai konsultan program universiti dengan bayaran RM20,000
  • Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth
  • Didakwa memperdayakan untuk mendapatkan lantikan yang melanggar kontrak kerja dengan Universiti Perdana
  • Tertuduh dihadapkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan
  • Dibenarkan ikat jamin RM10,000 dan perlu lapor diri bulanan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur sampai kes selesai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!