1,414 graduan pertanian UPM sedia perkasa sekuriti makanan negara

Dr Ahmad Farhan (lima dari kanan) bergambar bersama pemenang-pemenang hadiah universiti sempena Majlis Konvokesyen UPM Sidang 2 di UPM Serdang pada Jumaat. Foto: UPM
Dr Ahmad Farhan (lima dari kanan) bergambar bersama pemenang-pemenang hadiah universiti sempena Majlis Konvokesyen UPM Sidang 2 di UPM Serdang pada Jumaat. Foto: UPM
A
A
A

SERDANG - Seramai 1,414 graduan pelbagai disiplin pertanian diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-49 Sidang 2, 2025 yang berlangsung dari 29 November hingga 5 Disember ini di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Sebagai universiti berteraskan pertanian, kumpulan graduan ini menjadi tunjang kepada usaha negara memperkukuh sektor agro makanan, inovasi teknologi tani dan keselamatan makanan.

Mereka merangkumi graduan bidang sains pertanian, sains dan teknologi makanan, bioteknologi, veterinar, perhutanan, perikanan, kejuruteraan dan pengurusan berkaitan rantaian makanan yang bakal mengisi ekosistem pertanian daripada ladang hingga ke meja makan rakyat.

Secara keseluruhan, seramai 6,373 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma masing-masing, terdiri daripada 771 penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 1,948 Ijazah Sarjana, 3,636 Bacelor dan 18 Diploma.

Jumlah ini termasuk 556 graduan yang telah bergraduat pada Sidang 1 Majlis Konvokesyen Ke-49 Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada 1 hingga 2 November lalu, menjadikan keseluruhan 6,929 graduan bagi Konvokesyen UPM Ke-49.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, penghasilan graduan pertanian dalam jumlah yang signifikan ini membuktikan peranan UPM sebagai peneraju pendidikan tinggi pertanian negara kekal relevan dan kritikal dalam konteks cabaran sekuriti makanan serta perubahan iklim.

“Graduan pertanian UPM bukan sahaja mahir dalam teknologi dan sains tani, tetapi juga dididik dengan nilai keusahawanan, kepimpinan dan empati komuniti. Mereka inilah yang akan mengetuai transformasi sistem makanan negara, daripada meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil, sehinggalah kepada mengurangkan pembaziran dan memastikan akses makanan yang berkhasiat untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan graduan tahun ini turut disokong oleh jaringan kerjasama kukuh dengan industri agromakanan dan rakan strategik.

Antaranya Pingat Emas Doktor Falsafah Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals yang dianugerahkan kepada Dr Tan Hui Ya (PhD Bioteknologi Makanan) serta Hadiah Sekuriti Makanan Farm Fresh yang diterima Nur Aqilah Mohamad Arif, graduan Bacelor Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian, mencerminkan sinergi UPM-industri dalam penyelidikan dan inovasi berkaitan makanan selamat, berkualiti dan mampan.

Artikel Berkaitan:

Dr Ahmad Farhan (kanan) beramah mesra dengan pemenang-pemenang hadiah universiti sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-49, Sidang 2 di UPM Serdang. Foto: UPM
Dr Ahmad Farhan (kanan) beramah mesra dengan pemenang-pemenang hadiah universiti sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-49, Sidang 2 di UPM Serdang. Foto: UPM

UPM juga meraikan kelahiran graduan sulung program baharu yang menyokong agenda sekuriti makanan dan pembangunan komuniti, antaranya lima graduan sulung Program Master Reka Bentuk Makanan Fungsian dan lapan graduan sulung Program Master Pembangunan Komuniti.

Program ini dirangka bagi melahirkan profesional yang mampu mereka bentuk produk makanan berfungsi bernilai tambah serta memacu pembangunan komuniti luar bandar dan pinggir bandar secara lebih inklusif.

Di peringkat pengantarabangsaan, UPM meneruskan komitmen dalam penawaran Program Kolaborasi Antarabangsa (ICP) apabila melahirkan tiga graduan Doktor Falsafah di bawah Program Ijazah Bersama (Joint Degree) dengan University of Newcastle, Australia.

Seorang graduan Doktor Falsafah Program Ijazah Bersama Cotutelle dengan University of Paris 1 Pantheon-Sorbonne, Perancis.

Pengalaman global ini memperkayakan perspektif graduan UPM dalam isu sekuriti makanan dan kelestarian sistem makanan dunia.

Dalam pada itu, Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Pengembangan kepada Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Pengurniaan gelaran Profesor Emeritus pula diberikan kepada Academician Datin Paduka Dr Khatijah Mohamad Yusoff pada sesi pertama konvokesyen.

Pengiktirafan ini menyerlahkan komitmen UPM terhadap kesinambungan ilmu, penyelidikan dan pendidikan pengembangan yang dekat dengan masyarakat dan sektor pertanian.

Majlis Konvokesyen UPM Sidang 2 akan disempurnakan dalam tujuh sesi Sultan Sharafuddin dan dua Pro Canselor UPM iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie dan Tan Sri Peter Chin Fah Kui, yang bersama-sama meraikan kejayaan graduan serta ibu bapa mereka.

Menurut Dr Ahmad Farhan, UPM akan terus memperkukuh ekosistem pembelajaran berimpak tinggi yang berpaksikan penyelidikan, inovasi dan pemerkasaan masyarakat, selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025, khususnya Matlamat 1: Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

“Cabaran sekuriti makanan, perubahan iklim dan kesihatan planet bukan lagi isu masa depan, tetapi realiti hari ini. Kita yakin graduan pertanian UPM yang diraikan hari ini bersedia menjadi peneraju solusi, sama ada sebagai penyelidik, pembuat dasar, usahawan tani mahupun pemimpin komuniti,” ujar beliau.

Menerusi pelbagai pencapaian akademik, pengiktirafan industri serta jaringan global yang kukuh, 1,414 graduan pertanian UPM yang bergraduat pada Konvokesyen ke-49 ini diyakini bakal mengisi barisan hadapan agenda sekuriti makanan dan kelestarian negara.

Ringkasan AI

  • Seramai 1,414 graduan pertanian diraikan pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-49
  • Graduan merupakan tunjang kepada usaha memperkukuh sektor agro makanan dan inovasi teknologi
  • Keseluruhan terdapat 6,373 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma
  • UPM melahirkan graduan yang mahir dalam teknologi dan sains tani serta dilengkapi dengan nilai keusahawanan dan kepimpinan
  • UPM meneruskan pengantarabangsaan dengan melahirkan graduan melalui Program Kolaborasi Antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!