X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan ada kuasa berbelanja tanpa proses kelulusan Parlimen

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar -Foto Sumber Internet
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mempunyai kuasa untuk berbelanja walaupun belum mendapat kelulusan Parlimen, kata Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat kerajaan dalam menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19) adalah selari mengikut artikel 39 Perlembagaan Persekutuan iaitu di bawah kuasa Eksekutif, Kabinet, Perdana Menteri mempunyai bidang kuasa untuk mengurus dan mentadbirkan negara sebaik yang boleh.

"Keperluan negara sangat mendesak. Ekonomi negara perlu dijaga, industri dan perniagaan dibantu.

"Rakyat perlu sumbangan dan bantuan kerajaan kerana terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

"Maka atas kuasa mentadbir negara diberi kepada Perdana Menteri dan anggota Kabinet, kerajaan membuat satu keputusan di bawah Artikel 39 Perlembagaan Persekutuan untuk berbelanja dahulu sebelum mendapat kelulusan Parlimen," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas isu apabila ada pihak yang mempersoalkan kewajaran kerajaan berbelanja sebanyak RM250 bilion sebagai pelan penyelamat (rescue plan) dengan tidak mendapat kelulusan Parlimen terlebih dahulu.

Jelas beliau, dalam keadaan amalan biasa, setiap perbelanjaan kerajaan mengambil sumber daripada dana yang disatukan (consolidated fund) perlu mendapat kelulusan dari Parlimen, namun Parlimen tidak dapat dipanggil untuk bersidang mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keselamatan daripada jangkitan Covid-19.

"Kerajaan boleh mengambil keputusan eksekutif untuk mengeluarkan sumber kewangan daripada dana sedia ada dan juga dari dana yang disatukan dalam situasi hampir sama dengan darurat ini.

"Amalan ini telah dibuat oleh negara-negara Komanwel, dalam keadaan tertentu akan berbelanja dahulu dan selepas itu baru dibentangkan di Parlimen berdasarkan situasi-situasi dan keadaan tertentu.

"Di masa wabak Covid 19 ini, kerajaan berpandangan menyelamatkan negara dan rakyat adalah amanah utama dan fungsi yang mesti ditunaikan dan perlu dilaksanakan dengan segera," katanya.

Tambah beliau, Peruntukan Tambahan atau Supplementary Budget boleh dibentang di Parlimen pada persidangan bulan Mei nanti.

"Kerajaan terpaksa berbelanja secukupnya. Tidak boleh ala kadar dan seperti melepaskan batuk di tangga.

"Kalau nak berbelanja, biar ianya berkesan. Itulah jumlah RM250 bilion yang dibentangkan dan perlu dibelanjakan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus