25 individu didakwa langgar PKP, 11 dihukum penjara

Perintah Kawalan Pergerakan fasa dua akan bermula esok sehingga 14 April depan.
Perintah Kawalan Pergerakan fasa dua akan bermula esok sehingga 14 April depan.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 25 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini, atas pertuduhan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak koronavirus (Covid-19).

Seramai 11 daripada mereka dijatuhi hukuman penjara satu bulan dan didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Majistret Nor Zaliza Tesnim turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika mereka gagal membayar denda berkenaan.

Kesemuanya yang berusia antara 26 sehingga 57 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berasingan di deretan Kedai Taman Tuanku Ampuan Najihah, Seremban dan di bawah ‘fly over’ di Jalan Bukit Tembok, Seremban pada 27 dan 28 Mac lalu.

Sementara 14 individu berusia dari 20 hingga 39 tahun pula masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah peraturan sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan pada tarikh sama di Taman Desa Jasmin, Nilai; di Lorong Belakang Stesen Minyak Caltex di Pekan Mantin, Nilai; di Kolam Taman Akacasia di Sikamat, Seremban dan Taman Bandar Ekar Rantau, Seremban.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 13 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak dan Nur Atiqah Sapari.

Artikel Berkaitan: