Masjid Al Hamdi giat kumpul dana RM300,000

KOTA BHARU – Masjid Al Hamdi Mukim Sering di sini giat mengumpul dana bagi pembelian sebidang tanah bernilai RM300,000 untuk dijadikan kawasan tempat letak kenderaan, selaras dengan pelan pembangunan jangka panjang rumah ibadah berkenaan.
Bendahari, Mohd Subri Mohd Noor berkata, masjid tersebut dibina hampir sedekad lalu dan hanya sekali menjalani kerja baik pulih sebelum ini.
"Kini ia memasuki fasa pembangunan baharu bagi memenuhi keperluan jemaah yang semakin meningkat.
"Pembelian tanah berkenaan amat penting bagi mengatasi masalah parkir terutamanya pada hari Jumaat dan program besar yang melibatkan kehadiran ramai jemaah.
“Kita sedang dalam proses mengutip dana bagi membeli tanah di sebelah masjid untuk dijadikan kawasan parkir," katanya.
Menurut beliau, masjid ini mampu menampung kira-kira 1,000 jemaah pada solat Jumaat.
Ujarnya, selain itu pihak masjid turut merancang pembinaan sebuah kompleks bertingkat yang akan menempatkan dewan terbuka, pejabat pengurusan serta kemudahan inap desa.
“Kompleks ini nanti diharap dapat menjadi pusat aktiviti masyarakat selain menjana pendapatan berterusan kepada masjid,” katanya.
Tambah beliau, perancangan pembangunan turut merangkumi pembinaan kiosk perniagaan bagi memberi peluang ekonomi kepada penduduk setempat serta penyediaan tandas awam untuk kemudahan orang ramai.
Dalam pada itu, Mohd Subri memaklumkan Masjid Al Hamdi sentiasa aktif dengan pelbagai pengisian rohani dan kemasyarakatan termasuk kuliah agama setiap malam, program bulanan serta sambutan hari kebesaran Islam.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Masjid Al Hamdi di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), 03018010175199.
Sebarang pertanyaan juga boleh dibuat dengan menghubungi Imam Tua merangkap Pengerusi Masjid Al Hamdi, Abu Kari Mat Ail (013-925 2517) atau Imam Muda merangkap Timbalan Pengerusi, Che Hashim Awang (013-979 5679).
Ringkasan AI
- Masjid Al Hamdi Mukim Sering mengumpul dana untuk membeli tanah bernilai RM300,000 sebagai kawasan parkir
- Masjid tersebut dibina hampir sedekad lalu dan hanya menjalani kerja baik pulih sekali sebelum ini
- Pembelian tanah bertujuan mengatasi masalah parkir terutama pada hari Jumaat dan program besar
- Rancangan pembangunan termasuk pembinaan kompleks bertingkat dengan dewan terbuka, pejabat pengurusan, dan inap desa
- Masjid aktif dalam pengisian rohani dan sosial termasuk kuliah agama, program bulanan, dan sambutan hari kebesaran Islam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

