MTL: Wujudkan rumah transit bencana di Kuala Lumpur

Dr Zaliha mempengerusikan Majlis Menteri Wilayah di Menara DBKL 1 di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto FB Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha mempengerusikan Majlis Menteri Wilayah di Menara DBKL 1 di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto FB Dr Zaliha Mustafa
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta untuk mewujudkan rumah transit bencana sebagai persediaan awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, persiapan itu penting susulan kejadian ribut yang menjejaskan kediaman penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Lembah Pantai.

"Mesyuarat turut membincangkan tentang kesiapsiagaan ibu kota menghadapi Monsun Timur Laut seperti yang berlaku semalam di PPR Seri Cempaka.

"Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju agar JKM dan DBKL mewujudkan rumah transit bencana di Kuala Lumpur sebagai persediaan awal," katanya dalam kenyataan di Facebook selepas mempengerusikan Majlis Menteri Wilayah di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan ribut yang melanda ibu negara pada petang Isnin menyebabkan bumbung sebuah blok PPR Seri Cempaka rosak teruk hingga menjejaskan beberapa unit rumah serta 30 kenderaan.

Selain itu, beliau berkata, ribut turut menyebabkan beberapa kejadian bencana di kawasan berhampiran termasuk kebakaran kecil di Dewan Gasing Indah yang berjaya dipadamkan bomba, serta insiden pokok tumbang di Jalan Pantai Murni dan Taman Lucky Garden.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata, pembangunan semula Pasar Datuk Keramat dan Flat Seri Perlis perlu dituntaskan segera.

"Memandangkan keadaan daifnya yang tidak lagi sesuai untuk digunakan.

"Dalam mesyuarat yang sama, DBKL telah membentangkan hala tuju dan cadangan pembangunan semula tersebut kepada mesyuarat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • JKM dan DBKL diminta untuk mewujudkan rumah transit bencana sebagai persediaan awal menghadapi Monsun Timur Laut
  • Persiapan itu penting susulan kejadian ribut yang menjejaskan kediaman penduduk di PPR Seri Cempaka, Lembah Pantai
  • Rumah transit bencana itu adalah sebagai persediaan awal di Kuala Lumpur
  • Kebakaran kecil dan insiden pokok tumbang merupakan beberapa kejadian bencana yang berlaku susulan ribut tersebut
  • Pembangunan semula Pasar Datuk Keramat dan Flat Seri Perlis perlu dituntaskan segera kerana keadaannya yang daif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!