Pegawai Imigresen didakwa 'songlap' duit kelab RM61,300

Ruhaya tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
Ruhaya tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang Penolong Penguasa Imigresen gred KP29 didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas pertuduhan pecah amanah berhubung wang Kelab Kebajikan Rekreasi Inovasi dan Sukan (KKRIS) berjumlah RM61,300, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ruhaya Hamzah, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, ibu tunggal seorang anak itu yang memegang jawatan sebagai Bendahari KKRIS, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri dengan curang menggunakan duit kelab untuk kegunaan peribadi daripada akaun kelab KKRIS berjumlah keseluruhan RM61,300.

Perbuatan pecah amanah itu didakwa dilakukan Ruhaya di sebuah bank di Jalan Kenanga 29/3, Genting Indraputra, Kulai antara 26 Januari hingga 15 November 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah SPRM, Chan Lee Lee manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali Ghazali.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang Penolong Penguasa Imigresen didakwa atas pertuduhan pecah amanah berhubung wang RM61,300
  • Ruhaya Hamzah, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru
  • Tertuduh didakwa menggunakan duit kelab KKRIS untuk kegunaan peribadi
  • Perbuatan didakwa dilakukan antara 26 Januari hingga 15 November 2023
  • Tertuduh boleh menghadapi hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!