[VIDEO] 'Saya baru ambil ganja lepas bertengkar dengan bos'
KUALA LUMPUR - "Saya baru ambil ganja sebab tertekan lepas bertengkar dengan bos."
Demikian alasan diberikan seorang lelaki apabila ditahan dalam sekatan jalan raya Operasi Sepadu Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan di sini pada Selasa.
Terdahulu, lelaki berusia 49 tahun yang menunggang motosikal itu bertindak melarikan diri dengan melawan arus tetapi terbabas di bahu jalan ketika mengelak kenderaan lain.
Semasa diperiksa, individu itu disyaki memiliki bahan terlarang, malah saringan ujian air kencing turut mendapati dirinya positif dadah.
Lelaki yang bekerja sebagai pemandu itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kota Damansara ke Kajang Utama.

"Saya terbabas tadi sebab terkejut. Selalunya saya 'redah' sahaja kalau ada sekatan, tapi kali ini tak tahu kenapa saya patah balik.
"Ganja ini pun saya baru ambil sebab bos nak berhentikan saya," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Lelaki itu antara empat individu yang ditahan kerana positif dadah dalam operasi sepadu Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, empat individu yang ditahan terdiri daripada seorang pemandu lori manakala selebihnya merupakan penunggang motosikal.
"Kesemua yang ditahan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut," katanya.
Ringkasan AI
- Lelaki berusia 49 tahun yang menunggang motosikal ditahan dalam sekatan jalan raya kerana positif dadah Lelaki itu mengaku mengambil ganja kerana tekanan selepas bertengkar dengan bos Individu tersebut melarikan diri daripada sekatan jalan raya dengan melawan arus tetapi akhirnya terbabas Dia dalam perjalanan pulang dari Kota Damansara ke Kajang Utama ketika kejadian berlaku Empat individu termasuk lelaki tersebut ditahan dalam operasi sepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
