Bekas PAT nafi salah guna kuasa, pecah amanah tabung tentera

KUALA LUMPUR - Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral (B) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas dua kes guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM552,481.90 dan masing-masing satu pecah amanah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) membabitkan RM3 juta dan menerima RM200,000 sejak 2024 lalu.
Mohd Nizam, 60, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
"Faham (pertuduhan), tidak mengaku bersalah Yang Arif," kata Mohd Nizam yang memakai kot berwarna hitam ketika berdiri di kandang tertuduh dengan memegang tongkat.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif TKAT, telah menggunakan kedudukan untuk suapan bagi diri sendiri iaitu melibatkan jumlah RM267,481.90 dan RM285,000.
Dia dituduh melantik lima syarikat untuk menjalankan kerja pembekalan kain pelikat, kain batik, ‘multifunctional folding pliers’, beg galas dan tuala mandi untuk bungkusan barang hari raya bagi tahun 2025 kepada TKAT.
Kesalahan didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah, di sini pada 24 Jun 2024.
Dia dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa ketika menjawat jawatan sama, telah diamanahkan wang sejumlah RM3 juta di akaun bank milik TKAT, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.
Dia dituduh menyalahgunakannya dengan membuat pelaburan tambahan di dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT di lokasi sama pada 4 Oktober 2024.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Bagi pertuduhan keempat, dia selaku PAT ATM, telah menerima untuk diri sendiri wang RM200,000 dengan tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat berusia 57 tahun, yang diketahui mungkin mempunyai kena-mengena dalam urusan yang akan dijalankan oleh tertuduh.
Kesalahan didakwa dilakukan di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, di sini pada Mac 2025.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam prosiding berkenaan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib sementara pembelaan tertuduh oleh peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud.
AKAN MENYUSUL
Ringkasan AI
- Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengaku tidak bersalah atas dua kes suapan dan pecah amanah
- Mohd Nizam didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM552,481.90
- Dia juga didakwa melakukan pecah amanah terhadap Tabung Kebajikan Angkatan Tentera dengan nilai RM3 juta dan menerima RM200,000
- Pertuduhan melibatkan pelantikan lima syarikat untuk pembekalan barang bagi bungkusan hari raya
- Jika sabit kesalahan, hukuman boleh mencapai penjara 20 tahun, sebatan, dan denda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

