Inkues Zara Qairina: Saksi dakwa Zara dijerit kuat hingga didengar di aras bawah

KOTA KINABALU – Saksi ke-59 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa remaja tersebut telah dijerit dengan kuat sehingga boleh didengar di aras bawah bangunan asrama dalam kejadian malam 15 Julai tahun lalu.
Peguam, Rizwandean M Borhan berkata, kanak-kanak tersebut merupakan saksi yang dipanggil semula dalam inkues dan merupakan ‘saksi mata’ ketika Zara Qairina disoal dan dimarahi oleh pelajar senior di sebuah bilik asrama.
“Saksi pertama pagi ini menyatakan bahawa Zara seorang yang ceria dan ketika mula-mula masuk sekolah, Zara yang menegurnya terlebih dahulu. Dia memaklumkan pada malam kejadian, Zara dimarahi dan diteriak oleh senior, termasuk menggunakan kata-kata seperti ‘bodoh’ dan ‘sial’.
“Apabila ditanya berapa kuat jeritan itu, saksi menyatakan ia sangat kuat sehingga boleh didengar dari aras bawah. Semasa senior tersebut memasuki bilik dorm untuk soal siasat Zara, dia telah melemparkan pin bendera Malaysia ke arah Zara dan bertanyakan sama ada Zara mengambil pin tersebut.
“Saksi turut memaklumkan bahawa Zara disoal siasat mengenai kehilangan dompet milik seorang rakan. Zara bersumpah, 'Wallahi' dia tidak mengambilnya,” katanya kepada pemberita sebagai ringkasan prosiding inkues yang berlangsung secara tertutup di Mahkamah Koroner di sini, pada Isnin.
Prosiding dilakukan secara tertutup kerana melibatkan saksi kanak-kanak.
Rizwandean turut memaklumkan bahawa saksi berkenaan menceritakan satu lagi kejadian yang berlaku pada pertengahan Mei tahun lalu, ketika dia ingin naik ke blok akademik bersama Zara.
“Ketika itu, saksi meminta Zara menemaninya naik ke blok akademik yang terletak di atas. Mereka perlu melalui kawasan kelas senior. Zara pada mulanya enggan ikut kerana takut, namun akhirnya bersetuju.
“Ketika melalui kawasan tersebut, mereka terdengar seorang senior menyebut ‘gete’. Saksi percaya perkataan itu adalah sindiran. Zara kemudian berkata, ‘Nah, itulah aku bilang,’ – menunjukkan ketakutannya sebelum itu,” katanya.
Menurut Rizwandean, Zara turut memaklumkan kepada saksi bahawa dia pernah difitnah oleh senior kononnya bercakap sesuatu di belakang mereka, walaupun dia menafikannya.
Peguam itu berkata, mereka turut bertanya mengapa saksi meminta Zara menemaninya ke blok akademik walaupun mereka tidak rapat.
“Saksi memberitahu, ketika itu dia juga difitnah dalam satu kes lain dan separuh daripada rakannya sudah tidak bertegur sapa dengannya. Namun, Zara dan beberapa rakan lain masih berkawan dengannya. Oleh itu, dia meminta Zara menemaninya,” katanya.
Rizwandean bersama pasukannya – Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James – mewakili ibu kepada Zara Qairina, iaitu Noraidah Lamat dalam inkues tersebut.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Ringkasan AI
- Saksi ke-59 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir mendengar Zara dijerit dengan kuat oleh senior
- Zara dikenali sebagai individu ceria dan dituduh secara salah oleh senior mengambil pin dan dompet
- Kejadian teriakan berlaku malam 15 Julai tahun lalu dan dapat didengar dari aras bawah bangunan asrama
- Zara pernah difitnah bertindak di belakang senior dan menunjukkan ketakutan terhadap senior tersebut
- Zara Qairina, 13 tahun, ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
