SPR bincang tarikh PRK Dun Semenyih

Mohamed Elias Abu Bakar
Mohamed Elias Abu Bakar
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi Dun Semenyih daripada Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim, berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, Jumaat lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berkata, sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Jumaat ini, jam 8.30 pagi yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun.

Menurutnya, mesyuarat akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu.

Turut akan dibincangkan dalam mesyuarat sama persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.

“SPR akan adakan Mesyuarat Khas ini bertempat di Ibu Pejabat SPR, di Menara SPR, Putrajaya bagi membincangkan perkara berkaitan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kerusi Dun Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya yang meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, Jumaat lalu.

Pada PRU14 lalu, Allahyarham yang mewakili Bersatu menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8, 964 undi.

Artikel Berkaitan: