Sebar maklumat perjawatan ATM: Beberapa pegawai dipanggil polis beri keterangan

MELAKA - Beberapa pegawai tentera dipanggil memberi keterangan kepada polis berhubung penyebaran maklumat urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di media sosial.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia susulan laporan polis dibuat Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung kebocoran maklumat itu pada minggu lepas.
"Polis telah memanggil beberapa pegawai dan sehingga kini, saya percaya polis masih lagi melakukan siasatan. Saya percaya bila siasatan selesai, tentu akan ada tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Terendak di Sungai Udang di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Azhan Md Othman; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman dan Panglima 3 Divisyen, Mej Jen Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.
Mohamed Khaled bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah pegawai tentera yang dipanggil memberi keterangan kepada polis setakat ini.
Sebelum ini, MINDEF memaklumkan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat sulit berhubung urusan perjawatan strategik ATM di media sosial. - Bernama
Ringkasan AI
- Beberapa pegawai tentera dipanggil memberi keterangan kepada polis berhubung penyebaran maklumat strategik ATM di media sosial
- Ini susulan laporan polis yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengenai kebocoran maklumat
- Polis masih melakukan siasatan dan tindakan sewajarnya akan diambil setelah siasatan selesai
- MINDEF tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat sulit ATM
- MINDEF akan berunding dengan kerajaan berkaitan perolehan yang boleh menjejaskan operasi ATM, termasuk aspek kesejahteraan pegawai dan anggota
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
