JIM perjelas fungsi NIISe, MyBorderPass dan MyDigitalID

SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan fungsi platform National Integrated Immigration System (NIISe), MyBorderPass dan MyDigitalID bagi tujuan pelepasan imigresen melalui pagar automatik (autogate) menggunakan kod respons pantas (QR).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum kekeliruan orang awam yang tular di media sosial berhubung perkara ini.
Menurutnya, struktur sebenar pelaksanaan inisiatif yang dijalankan secara berfasa ini adalah bagi memastikan kelancaran pergerakan di pintu masuk utama negara serta kesinambungan penyampaian perkhidmatan imigresen kepada rakyat dan pelawat.
“NIISe dibangunkan sebagai platform tunggal untuk menyatukan urusan dan perkhidmatan imigresen Malaysia di bawah satu aplikasi digital bersepadu.
“Pembangunan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi jabatan melalui NIISe yang akan menggantikan sistem legasi sedia ada secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, MyBorderPass pula ialah sistem yang mula beroperasi sejak tahun 2024 sebagai intervensi sementara dan melalui ujian konsep (Proof of Concept/POC) bagi menangani isu kesesakan kritikal di pintu masuk utama negara melalui penggunaan autogate kod QR terpilih.
Jelasnya, pelaksanaan ini bersifat taktikal bagi memastikan kelangsungan operasi sempadan berjalan lancar sementara pembangunan dan integrasi penuh MyNIISe dimuktamadkan.
Katanya lagi, MyDigitalID pula merupakan platform identiti digital kebangsaan yang berfungsi sebagai mekanisme pengesahan identiti digital (single sign-on) bagi memastikan akses yang lebih selamat dan sahih ke perkhidmatan kerajaan termasuk MyNIISe.
“MyDigitalID bukan aplikasi imigresen, sebaliknya berperanan sebagai gerbang keselamatan untuk pengesahan identiti pengguna dalam ekosistem perkhidmatan digital kerajaan,” ujarnya.
Zakaria berkata, JIM menegaskan bahawa tiada pertindihan aplikasi seperti yang ditularkan.
“Pelaksanaan semasa ialah fasa peralihan yang bersifat sementara bagi membolehkan pembangunan MyNIISe dilaksanakan sepenuhnya tanpa menjejaskan kelancaran operasi pintu masuk, tahap keselamatan sempadan dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pengguna,” ujarnya.
Jelas beliau, JIM akan meneruskan agenda pembaharuan dan penambahbaikan perkhidmatan imigresen berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan mesra pengguna demi manfaat rakyat serta keselamatan negara.
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen Malaysia menjelaskan fungsi NIISe, MyBorderPass, dan MyDigitalID untuk pelepasan imigresen melalui autogate
- NIISe adalah platform tunggal untuk menyatukan urusan imigresen Malaysia
- MyBorderPass beroperasi sejak 2024 untuk tangani kesesakan kritikal di pintu masuk utama negara
- MyDigitalID berfungsi sebagai mekanisme pengesahan identiti digital untuk akses perkhidmatan kerajaan
- Pelaksanaan sistem-sistem ini adalah fasa peralihan sementara bagi pembangunan MyNIISe
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
