MINDEF buat laporan polis dakwaan kebocoran maklumat pegawai kanan ATM

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (MINDEF) membuat laporan polis susulan dakwaan kebocoran maklumat membabitkan nama, jawatan serta pergerakan tugas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan dalaman turut dijalankan berikutan pendedahan maklumat berkenaan kepada umum, sedangkan keputusan pengisian kekosongan jawatan tertinggi ATM masih belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Beliau berkata, setiap pelantikan jawatan tertinggi ATM perlu dibincangkan di peringkat Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang bertanggungjawab mengemukakan syor kepada Seri Paduka Baginda.
"Bagi setiap jawatan, dua atau tiga nama akan disyorkan, bukannya hanya satu. Namun, apa yang tular hanya menyebut satu nama, sekali gus memberi gambaran seolah-olah keputusan muktamad sudah dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah SASaR Residensi Sateria Sungai Besi, di sini pada Isnin.
Mohamed Khaled menegaskan sebarang pelantikan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan pendedahan maklumat sebelum kelulusan rasmi adalah tidak wajar.
Menurutnya, pendedahan nama, jawatan dan pergerakan pegawai kanan ATM boleh mengundang risiko keselamatan kerana maklumat sensitif sedemikian tidak sepatutnya didedahkan kepada umum.
"Angkatan tentera tidak mendedahkan siapa yang memerintah kem tertentu, siapa bertanggungjawab terhadap unit logistik atau artileri, mahupun peranan operasi pegawai kanan kerana ia boleh mendedahkan butiran keselamatan yang kritikal.
"Semua ini melibatkan urusan keselamatan. Mendedahkan identiti, jawatan dan pergerakan individu terbabit membuka ruang kepada risiko yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Semalam, MINDEF dalam satu kenyataan memberi amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati menyebarkan maklumat terperingkat atau maklumat dalaman kerajaan di media sosial.
Langkah itu susulan penularan naratif spekulatif serta senarai pegawai kanan ATM yang dikaitkan dengan jawatan strategik dan urusan kepimpinan di media sosial.
Menurut kementerian, perbuatan mendedahkan maklumat terperingkat boleh disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Angkatan Tentera 1972 serta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.- Bernama
Ringkasan AI
- Kementerian Pertahanan membuat laporan polis tentang kebocoran maklumat pegawai kanan ATM
- Siasatan dalaman dilakukan kerana maklumat bocor sebelum keputusan rasmi
- Pelantikan jawatan tertinggi ATM perlu perkenan Yang di-Pertuan Agong
- Pendedahan maklumat pegawai boleh mengundang risiko keselamatan
- MINDEF akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebaran maklumat terperingkat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
