[VIDEO] KKM rampas produk kesihatan tidak sah RM24 juta, lima lelaki ditahan
BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 88,000 unit produk kesihatan tidak berdaftar termasuk ubat tradisional yang disyaki mengandungi racun berjadual dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan membabitkan 19 premis di Pulau Pinang, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM24 juta.
Selain ubat-ubatan, turut dirampas bahan mentah serta peralatan untuk memproses ubat berkenaan.
Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, operasi hasil risikan dan aduan awam itu turut membawa kepada penahanan lima lelaki berusia antara 34 hingga 60 tahun.

Menurutnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua warga asing dari Bangladesh yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengilangan serta pengedaran produk kesihatan tidak sah.
"Pemeriksaan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Pulau Pinang mendapati selain produk siap, pihak berkuasa turut merampas lebih 500 bungkusan bahan mentah yang disyaki mengandungi racun berjadual, 23,000 produk separa siap, dua peranti digital serta 36 unit mesin pengilangan, termasuk mesin pengisian kapsul dan pembungkusan," katanya pada sidang media di sebuah kilang di Simpang Ampat, Juru di sini pada Isnin.
Beliau ditemui selepas menyertai operasi yang turut melibatkan agensi lain seperti polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Fazilah berkata, rampasan tersebut melibatkan 13 daripada 19 premis yang diperiksa termasuk kilang, gudang simpanan, premis pelabelan, pemasaran serta logistik.
“Antara produk yang dirampas ialah ubat tradisional Cina yang disyaki mengandungi bahan terlarang seperti steroid, paracetamol, allopurinol dan bahan lain yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952.
"Kebanyakan produk terbabit digunakan sebagai ubat tahan sakit (painkiller) serta rawatan untuk penyakit seperti gout dan dijual di pasaran dengan harga anggaran RM20 sekotak," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Mohd Zawawi Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati, kegiatan pengilangan itu sudah beroperasi sejak 2020 sehingga kini dengan modus operandi mengagihkan proses pengeluaran ke beberapa lokasi berbeza bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kilang utama yang diserbu hari ini merupakan yang terbesar dan menyumbang sebahagian besar nilai rampasan. Kesemua premis ini berkait antara satu sama lain.
"Premis lain pula digunakan untuk penyimpanan bahan mentah, pelabelan, dokumentasi, pemasaran serta pengangkutan,” katanya lagi.

Tambah beliau, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dikenal pasti sebagai dalang utama yang menyelaras operasi melibatkan kesemua 19 premis tersebut manakala selebihnya bertindak sebagai pekerja dan individu berkaitan.
"Kesemua perbuatan ini disiasat di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
"Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM25,000, dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala syarikat boleh didenda sehingga RM50,000," katanya.
Zawawi menambah, kes sama turut disiasat di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kesemua ubat tidak sah ini akan dieksport ke Vietnam selain ia turut dijual di dalam negara melalui dalam talian.
"Ubat-ubatan ini juga dijual di kedai ubatan Cina. Sebab itu jika kita lihat, selain berbentuk kapsul, ia juga ada dalam bentuk majun," katanya lagi.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan KKM dalam membanteras penjualan dan pengedaran produk kesihatan tidak sah di pasaran tempatan termasuk yang dieksport ke luar negara.
"Orang ramai diingatkan agar hanya menggunakan produk kesihatan yang berdaftar dengan nombor MAL serta mempunyai pelekat keselamatan hologram Pharmatech selain menyemak status pendaftaran produk melalui laman web National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA).
"KKM turut melaksanakan Kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBACS) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko penggunaan produk kesihatan yang melanggar undang-undang," katanya.
Tambahnya, sebarang aduan atau maklumat berkaitan penjualan produk kesihatan meragukan boleh disalurkan melalui Portal Aduan SISPA, talian hotline 04-229 2319 atau mana-mana cawangan penguatkuasaan farmasi berhampiran.
Ringkasan AI
- Dirampas 88,000 unit produk kesihatan tidak berdaftar termasuk ubat tradisional di Pulau Pinang bernilai RM24 juta Bahan mentah dan peralatan untuk memproses ubat juga dirampas Lima lelaki termasuk tiga warga tempatan dan dua warga asing ditahan Operasi penguatkuasaan ini berdasarkan risikan dan aduan awam Individu jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjara, syarikat boleh didenda sehingga RM50,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

