Pembuangan sampah di Kedah menurun 10 peratus: Exco

Kerja-kerja sanitasi sedang dijalankan di stesen KTM Anak Bukit, di sini hari ini.
Kerja-kerja sanitasi sedang dijalankan di stesen KTM Anak Bukit, di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa 18 Mac lalu turut mempengaruhi jumlah pembuangan sampah di Kedah apabila ia mencatatkan penurunan sebanyak 9.72 peratus.

Exco Kerajaan Tempatan Kedah, Tan Kok Yew menyifatkannya sebagai pencapaian yang baik dengan purata pembuangan sampah sejak penguatkuasaan PKP hanya 917.79 tan sehari berbanding tempoh sebelumnya dengan purata lebih 1,000 tan setiap hari.

Mengulas perkembangan itu, beliau berharap jumlah berkenaan dapat dikurangkan lagi sehingga tamat tempoh PKP pada 14 April ini.

"Kita melihat contoh di Alor Setar sebelum ini, sebanyak 271.5 tan sampah dibuang dalam masa sehari tetapi sekarang jumlah tersebut telah turun kepada 243.21 tan sehari.

"Saya harap masyarakat dapat meneruskan usaha ini serta tidak melakukan pembaziran terutamanya makanan," katanya kepada media selepas taklimat Operasi Sanitasi Awam Covid-19, di sini hari ini.

Operasi Sanitasi Awam Covid-19 turut dijalankan di sekitar daerah Kota Setar disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan beberapa agensi termasuk Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan kakitangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Turut hadir, Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon dan Pengarah SWCorp Kedah, Zaidi Tuah.

Dalam masa sama, beliau turut berharap masyarakat memanfaatkan tempoh PKP sebagai waktu terbaik untuk membudayakan amalan positif dengan mengurangkan dan menguruskan pembuangan sampah-sarap dengan betul.

Artikel Berkaitan:

"Ibu bapa di rumah boleh menggunakan masa ini bagi mendidik anak-anak mengasingkan sampah-sarap mengikut jenis sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah.

"Perkhidmatan kutipan sampah masih berjalan seperti biasa untuk memastikan kebersihan terjaga walaupun dalam tempoh PKP," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, pihak berkuasa tempatan Alor Setar telah mengambil inisiatif menyediakan sinki dan sabun pencuci tangan di beberapa pintu masuk pasar awam di Pasar Simpang Kuala, Pasar Teluk Wanjah dan Pasar Besar Alor Setar sebagai langkah mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Bagi pemasangan sinki di pasar awam yang lain di negeri ini, ia terpulang kepada pihak PBT masing-masing untuk melaksanakannya," katanya.