Van Dijk beri alasan angin punca kesilapan

KAPTEN Liverpool, Virgil van Dijk memberikan alasan luar biasa mengenai kesilapannya yang menyumbang kepada gol pembukaan Bournemouth ketika The Reds tewas 3-2, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah 13 perlawanan mereka.
Dalam aksi mendebarkan itu, skuad kendalian Arne Slot bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan Van Dijk dan sepakan percuma Dominik Szoboszlai sebelum dan selepas rehat separuh masa.
Liverpool terus memburu gol kemenangan, namun sebaliknya dihukum dengan kekalahan pertama sejak November tahun lalu apabila pemain Bournemouth, Amine Adli menolak masuk gol kemenangan pada saat akhir perlawanan.
Kekalahan itu menyaksikan Liverpool kini gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris, selepas merekodkan empat keputusan seri berturut-turut sebelum pertemuan Ahad lalu.
Walaupun berjaya menjaringkan gol, aksi Van Dijk menjadi tumpuan apabila gagal mengawal hantaran jauh dengan kemas sehingga membolehkan Alex Scott merampas bola dan melorongkannya kepada Evanilson untuk gol pertama tuan rumah.
Bercakap selepas perlawanan, pertahanan antarabangsa Belanda itu menegaskan keadaan berangin menjadi punca utama kesilapannya yang memberi kelebihan awal kepada skuad kendalian Andoni Iraola.
"Gol pertama itu sukar untuk dinilai dalam keadaan tersebut, angin sangat kencang dan sukar diramal. Saya fikir anda boleh lihat apabila kami bermain hantaran jauh di kawasan itu, ia sangat sukar untuk diagak. Jadi, melepaskan gol sebegitu bukanlah satu isu besar (teknikal) tetapi ia tetap tidak bagus.
"Melepaskan dua gol dalam tempoh singkat sangat mengecewakan. Gol yang saya jaringkan sebelum rehat sangat penting untuk momentum separuh masa kedua dan kami telah membuktikannya.
"Kami bekerja keras untuk bangkit, malah mendapat sepakan percuma dan beberapa peluang keemasan, tetapi akhirnya lontaran ke dalam itu (gol kemenangan Bournemouth) menghukum kami," kata Van Dijk.
Tambah kapten The Reds itu lagi, kekalahan pada minit akhir permainan amat sukar untuk diterima pasukannya selepas usaha keras yang dipamerkan pada babak kedua.
Dalam pada itu, perancang tengah Bournemouth, Alex Scott yang memanfaatkan kesilapan Van Dijk mengakui faktor cuaca memainkan peranan penting pada malam tersebut.
"Angin menyukarkan Virgil untuk menangani bola itu. Keadaan memang sukar, separuh masa pertama kami bermain menentang arah angin.
"Bagi dia (Van Dijk), saya rasa bola itu seakan terhenti sedikit di udara, tetapi saya bersyukur dapat berada di situ untuk memanfaatkannya dan gembira mendapat gol awal," kata Scott.
Sementara itu, Arne Slot enggan menyalahkan kaptennya seratus peratus atas gol pembukaan tersebut.
"Saya rasa tidak adil untuk menyalahkan Virgil sepenuhnya untuk gol pertama itu. Anda boleh lihat sepanjang perlawanan betapa besarnya impak angin terhadap permainan," ujar pengendali Liverpool itu.
Ringkasan AI
- Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, mengakui angin kuat sebagai faktor kesilapannya yang menyebabkan gol pembukaan Bournemouth
- Liverpool bangkit daripada ketinggalan 0-2 tetapi akhirnya tewas 3-2 kepada Bournemouth, mengakhiri rekod tanpa kalah mereka
- Kekalahan ini merupakan yang pertama untuk Liverpool sejak November tahun lalu dalam Liga Perdana Inggeris
- Van Dijk menjaringkan gol namun kesilapan awalnya memberi kelebihan kepada Bournemouth
- Cuaca berangin diakui oleh kedua-dua pemain dan jurulatih sebagai elemen penting yang mempengaruhi permainan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
