Piala FA: JDT sah slot suku akhir

Pemain JDT, Feroz Baharuddin beraksi cemerlang mengekang asakan pemain PDRM FC. Foto: Johor Southern Tigers
Pemain JDT, Feroz Baharuddin beraksi cemerlang mengekang asakan pemain PDRM FC. Foto: Johor Southern Tigers
A
A
A

JUARA bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), mengesahkan slot ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan PDRM FC, 1-0 (agregat 11-1), dalam aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, pada Sabtu.

Jaringan tunggal Teto Martin pada minit ke-66 sudah memadai buat skuad Harimau Selatan mara ke kelompok lapan pasukan terbaik, setelah mencatat kemenangan besar 10-1 pada aksi pertama pusingan 16 di venue sama, Ahad lalu.

Bermula garang sebaik wisel permulaan, kesebelasan JDT mengasak hebat ke gawang pelawat dalam usaha mencari jaringan awal.

Bagaimanapun, asakan-asakan tersebut gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan The Cops.

Kesebelasan JDT. Foto: Johor Southern Tigers
Kesebelasan JDT. Foto: Johor Southern Tigers

Selain itu, aksi cemerlang penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun, turut menafikan beberapa percubaan jentera serangan Harimau Selatan, menyebabkan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, JDT terus menggandakan asakan bagi merobek gawang lawan.

Akhirnya, Stadium Sultan Ibrahim bergema dengan sorakan penyokong apabila Teto Martin menjaringkan gol pada minit ke-66.

Artikel Berkaitan:

Gol tersebut menyemarakkan lagi semangat kesebelasan JDT untuk terus mengasak ke gawang The Cops bagi menambah jaringan.

Namun begitu, tiada tambahan gol berjaya dihasilkan sehingga wisel penamat ditiup.

Ringkasan AI

  • Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan PDRM FC 1-0
  • Kemenangan ini mengesahkan kemenangan agregat JDT ke atas PDRM FC menjadi 11-1
  • Teto Martin menjaringkan gol tunggal pada minit ke-66
  • Penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun, menampilkan aksi cemerlang tetapi gagal mencegah gol daripada JDT
  • Walaupun banyak asakan JDT, tiada gol tambahan berjaya dijaringkan selepas gol Teto Martin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!