Festival Titih Pusaka 2026 angkat pesona warisan

Mohd Yusri menyampaikan Anugerah Bakat Muda Harapan Seni Tradisi kepada penerima pada Festival Titih Pusaka 2026 pada Sabtu.
Mohd Yusri menyampaikan Anugerah Bakat Muda Harapan Seni Tradisi kepada penerima pada Festival Titih Pusaka 2026 pada Sabtu.
A
A
A

FESTIVAL Titih Pusaka 2026 berjaya memperkukuh kesinambungan pengetahuan seni budaya tradisional dan mendekatkan warisan kepada masyarakat umum.

Penganjuran festival yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya menarik hampir 10,000 pengunjung termasuk penyertaan negara dari China, Indonesia, Kemboja, Thailand dan Singapura.

Antara pengunjung yang hadir pada majlis perasmian Festival Titih Pusaka 2026 anjuran Aswara di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Antara pengunjung yang hadir pada majlis perasmian Festival Titih Pusaka 2026 anjuran Aswara di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Profesor Madya Dr Zulkifli Ab Rashid berkata, festival itu bukan sekadar acara hiburan tetapi wadah pemeliharaan akar budaya bangsa.

Menurutnya, komitmen itu menjadi jambatan antara generasi ke generasi serta antara institusi dan masyarakat demi memastikan warisan seni budaya Malaysia terus hidup.

"Festival ini bertujuan menampilkan keunikan dan kepelbagaian warisan seni tradisi masyarakat melalui pengalaman budaya secara langsung.

"Di samping itu, ia mengangkat martabat seni budaya sebagai produk pelancongan budaya bernilai tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Festival ini turut menyokong agenda Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Festival Titih Pusaka 2026 bertema Dari Generasi ke Generasi yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Tambah Zulkifli, festival berkenaan menjadi wadah penting dalam memperkayakan penawaran pelancongan seni budaya negara dengan pengalaman unik yang berteraskan identiti tempatan dan nilai warisan.

"Penganjurannya juga selari dengan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan ihsan.

"Aswara percaya bahawa seni dan budaya merupakan instrumen penting dalam pembinaan jati diri, penyatuan masyarakat majmuk serta pembentukan insan yang seimbang dan berbudaya tinggi," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Yusri menyampaikan Anugerah Bakat Muda Harapan Seni Tradisi kepada Ahmad Marzuki Nor-Din, Aiman Syawal Merican Mohd Shaiful Izham dan Cheng En Qi.

Selain itu, Anugerah Pempengaruh Seni Tradisi turut disampaikan kepada SMSM Production dan Azizzul Haqim Md Anuwar manakala, Warisan Indera Sukma daripada Universiti Malaysia Kelantan dinobatkan sebagai johan pertandingan Dikir Barat Mega.

Penyanyi, Haziq Rosebi mengadakan persembahan pada Festival Titih Pusaka 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Penyanyi, Haziq Rosebi mengadakan persembahan pada Festival Titih Pusaka 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Festival yang akan melabuhkan tirai pada Ahad meriah dengan pelbagai aktiviti seperti pameran seni dan kraf tradisional, demonstrasi oleh tokoh seni dan adiguru, bengkel, pertandingan Dikir Barat Mega, forum dan wacana akademik.

Pelbagai disiplin seni diketengahkan sepanjang festival termasuk tari, muzik, teater, animasi, penulisan, seni visual, sastera dan filem pendek yang memperlihatkan keluasan landskap seni di Malaysia serta potensi integrasi antara seni tradisi dan kontemporari.

Ringkasan AI

  • Festival Titih Pusaka 2026 memperkukuh kesinambungan pengetahuan seni budaya tradisional
  • Berjaya menarik hampir 10,000 pengunjung termasuk penyertaan dari negara China, Indonesia, Kemboja, Thailand dan Singapura
  • Menjadi platform pemeliharaan akar budaya bangsa yang menghubungkan generasi dan komuniti
  • Bertujuan mengangkat martabat seni budaya sebagai produk pelancongan bernilai tinggi dan menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026
  • Meriah dengan aktiviti seni dan kraf tradisional, demonstrasi adiguru, bengkel, pertandingan Dikir Barat Mega serta forum dan wacana akademik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!