Nilam Ortiz guna wang sendiri, tubuh yayasan bantu golongan teraniaya

PELAKON dan usahawan, Nur Nilam Ortiz sanggup membelanjakan lebih RM1 juta wang sendiri bagi membantu golongan teraniaya mendapatkan pembelaan sewajarnya menerusi penubuhan Nilam Care Foundation yang menyediakan bantuan guaman, sokongan psikologi serta perlindungan kepada mangsa penganiayaan.
Inisiatif kebajikan itu ditubuhkan hasil keprihatinannya melihat ramai individu, khususnya wanita yang berdepan keganasan rumah tangga, penderaan, pengabaian dan penindasan, tetapi tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk mendapatkan bantuan serta pembelaan.
Menurutnya, kos mengendalikan sesuatu kes perundangan bukan kecil kerana bergantung kepada kerumitan serta tempoh prosiding mahkamah.
"Untuk satu kes syariah sahaja, kosnya boleh mencecah puluhan ribu ringgit, malah ada kes yang memerlukan perbelanjaan sehingga RM40,000.
"Jika kes mengambil masa setahun atau dua tahun dengan proses mahkamah yang berulang, kosnya mungkin lebih tinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Justeru, Nilam memberitahu, pihaknya akan berusaha membantu individu yang benar-benar memerlukan berdasarkan kemampuan kewangan serta kekuatan fakta dan bukti setiap kes.
Beliau berkata, dana bagi menggerakkan Nilam Care Foundation diperoleh menerusi hasil perniagaannya, Nilam Empire, termasuk jualan pelbagai produk seperti susu dan sabun, selain menggunakan wang sendiri.

Nilam memberitahu, Nilam Care Foundation bukan hanya memberi tumpuan kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, sebaliknya turut membantu lelaki dan kanak-kanak yang berhadapan masalah serta memerlukan pembelaan.
Katanya, terdapat permohonan daripada lelaki yang mendakwa menjadi mangsa keganasan pasangan, selain kanak-kanak yang tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan perlindungan.
"Kita fokus kepada semua permasalahan yang mampu dibantu. Tidak semestinya wanita sahaja kerana ada juga lelaki dan kanak-kanak yang memerlukan pertolongan," katanya.
Jelasnya, pihaknya tidak menetapkan sasaran khusus jumlah kes yang perlu dibantu setiap tahun, sebaliknya akan menilai setiap permohonan berdasarkan kemampuan kewangan dan kapasiti pasukan guaman.
Menurut usahawan terbabit, ketika ini pihaknya bekerjasama dengan dua firma guaman yang mempunyai kira-kira 30 hingga 40 peguam, selain mendapatkan khidmat pakar psikologi dan doktor perubatan.
Bagaimanapun, beliau mengakui jumlah permohonan yang diterima setiap hari agak tinggi sehingga memerlukan masa untuk meneliti setiap kes sebelum tindakan lanjut diambil.
"Kita bukan sekadar memberikan sumbangan biasa. Apabila kita mahu membantu seseorang melalui proses undang-undang, kita perlu melihat fakta kes dan bukti terlebih dahulu.
"Kita mahu memperjuangkan nasib mereka, jadi setiap kes perlu dipersiapkan dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

