Belanjawan 2026 angkat martabat nelayan, perkasa masa depan anak muda

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM — Belanjawan 2026 disifatkan sebagai bukti kukuh bahawa konsolidasi fiskal dapat dilaksanakan tanpa menekan rakyat atau menjejaskan bantuan kepada isi rumah, sekali gus menegaskan komitmen Kerajaan Madani dalam menjaga kebajikan rakyat pelbagai lapisan.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, salah satu tumpuan utama belanjawan kali ini ialah memperkukuh sektor perikanan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, khususnya dalam membela kebajikan komuniti nelayan.

Menurut Faiz, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter akan terus dikekalkan khusus untuk nelayan, di samping elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan serta insentif hasil tangkapan berjumlah RM160 juta turut diteruskan.

“Kerajaan turut menzahirkan keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti nelayan melalui inisiatif membaik pulih rumah daif, termasuk membabitkan 380 rumah nelayan dengan peruntukan RM500 juta.

“Ini bukan sekadar program kebajikan, tetapi satu usaha memperkukuh martabat dan kualiti hidup nelayan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Faiz berkata, antara penerima manfaat utama inisiatif itu ialah komuniti nelayan di negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang (SG4) seperti Kelantan dan Terengganu, menggambarkan dasar keadilan sosial kerajaan yang tidak mendiskriminasi mana-mana negeri.

Beliau turut menyambut baik langkah memperluas galakan cukai automasi sektor pertanian yang kini turut merangkumi akuakultur dan perikanan laut dalam, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh daya saing jangka panjang sektor itu.

Selain itu, katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM20 juta bagi membolehkan nelayan menaik taraf vesel untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tekong dan kru asing, serta menggantikan pukat tunda Zon B dan pukat kenka dua bot demi menjamin kaedah penangkapan lebih lestari dan bertanggungjawab terhadap sumber marin.

“Manfaat ini sangat penting dalam memantapkan industri perikanan ke arah mencapai agenda keterjaminan makanan dan meningkatkan pendapatan nelayan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Faiz berkata, tumpuan Belanjawan 2026 terhadap pembangunan anak muda juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan generasi pelapis negara.

Antara inisiatif utama termasuk Program K-Youth oleh Khazanah Nasional bernilai RM200 juta yang akan memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor, jentera, digital dan teknologi.

Selain itu, ujarnya, kerajaan bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan turut menyediakan RM4.4 bilion bagi biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, manakala potongan cukai dua kali diberikan kepada syarikat swasta yang menawarkan biasiswa kepada pelajar berkelayakan.

Bagi memperkukuh peluang ekonomi anak muda, Bank Simpanan Nasional (BSN) memperuntukkan RM150 juta bagi pembiayaan usahawan belia berumur bawah 30 tahun, manakala SME Corp menyalurkan RM12 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).

Selain itu, Industrial Boot Camp (IBC) MARA diteruskan dengan peruntukan RM30 juta bagi melatih lebih ramai anak muda dengan jaminan pekerjaan.

“Secara keseluruhannya, Belanjawan 2026 bukan sahaja mengimbangi disiplin fiskal dan perlindungan sosial, tetapi juga memberi nafas baharu kepada sektor perikanan dan generasi muda. Ia membuktikan kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat boleh dicapai serentak tanpa memprejudiskan mana-mana golongan,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Belanjawan 2026 menunjukkan konsolidasi fiskal dapat dilaksanakan tanpa menekan rakyat
  • Tumpuan diberikan untuk mengukuhkan sektor perikanan khususnya dalam membela kebajikan komuniti nelayan
  • Kemudahan diesel bersubsidi dan insentif hasil tangkapan disediakan untuk nelayan
  • Inisiatif pembangunan anak muda termasuk latihan sambil bekerja dan sokongan kewangan untuk usahawan muda diperkenalkan
  • Pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat dapat dicapai serentak melalui belanjawan ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!