Aliff Syukri mohon maaf, akui kekhilafan ketika baca surah al-Fatihah

USAHAWAN terkenal dan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri mengakui komen negatif yang diterima susulan kesilapannya sewaktu membaca surah al-Fatihah dan al-Fil ketika mengimamkan solat berjemaah bersama anak-anaknya, baru-baru ini telah memberi kesan kepadanya.
Menurut pemilik nama Aliff Syukri Kamarzaman ini, komen negatif itu turut memberi kesan kepada emosi anak-anak sehingga mereka berasa malu dan mempersoalkan perkara yang berlaku.
Ujar Aliff, dia mengakui segala kesalahan serta kekhilafannya malah menjelaskan bahawa dia sememangnya mempunyai kekurangan dalam membaca serta menghafal ayat al-Quran kerana masalah ADHD dan disleksia yang dialaminya.
“Bila orang menghina saya, anak-anak sampai malu dan tanya kenapa jadi macam ini.
“Anak-anak tahu saya ni membaca al-Quran pun tak betul. Jujur saya ada masalah ADHD dan disleksia, saya struggle nak menghafal.
“Sekarang inilah saya dapat mengaji, bagi tazkirah dekat anak-anak, sebelum ini saya tak pernah buat. Kalau baca komen tu rasa macam saya terus down,” katanya kepada Gempak.
Aliff berkata demikian ketika ditemui di sidang media Majlis Pelancaran YES (Year End Sale Promotions) D’Herbs, yang diadakan di Wisma Dherbs, Kota Damansara pada Sabtu.
Mengulas lanjut, bapa kepada enam orang cahaya mata ini menegaskan bahawa dia tidak pernah berniat memperlekeh mahupun mempermainkan agama.
“Saya tak pernah memperlekehkan atau merendahkan agama. Saya buat itu (live solat) tak ada niat apa-apa pun.
“Saya mengaku ada khilaf, namun netizen banyak membuat provokasi seolah-olah macam saya ini mainkan agama.
“Kenapa orang kejam sangat dengan saya? Banyak lagi orang buat video yang mengarut tapi Saya pula dihina melampau-lampau,” tambahnya.
Terdahulu, tular satu potongan video memaparkan Aliff yang sedang mengimamkan solat berjemaah bersama anak-anaknya.
Video itu kemudiannya menjadi bualan ramai kerana terdapat kesalahan pada bacaan surah al-Fatihah dan juga surah al-Fil.
Video itu kemudiannya mendapat respon seorang penceramah bebas Ustaz Hafiz Afandi yang tampil menjelaskan bahawa terdapat banyak kesalahan yang dilakukan oleh Aliff ketika membaca surah al-Fatihah iaitu rukun dalam solat.
Pada masa sama, Hafiz turut menyarankan Aliff untuk mendapatkan bimbingan daripada seseorang yang lebih arif tentang bacaan dalam solat. - Gempak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
