Kemenangan PRK Kinabatangan, Lamag bukti rakyat yakin kerjasama BN dan parti tempatan -Jafry

Jafry (tiga dari kiri) meraikan kemenangan dua calon BN pada PRK Kinabatangan dan DUN Lamag.
Jafry (tiga dari kiri) meraikan kemenangan dua calon BN pada PRK Kinabatangan dan DUN Lamag.
A
A
A

KOTA KINABALU – UMNO Sabah menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag sebagai bukti jelas keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik serta keberkesanan kerjasama antara BN dan parti-parti tempatan di negeri ini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, sokongan padu pengundi kepada calon BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar bagi Parlimen Kinabatangan dan Mohd Ismail Ayob bagi DUN Lamag, menunjukkan bahawa kerjasama politik yang strategik mampu membina gelombang sokongan yang besar dan berkesan.

Katanya, kemenangan itu sekali gus menepis naratif pihak lawan yang cuba mempertikaikan kedudukan BN di Sabah.

“Walaupun pihak lawan cuba memainkan sentimen bahawa BN adalah parti berteras Semenanjung, hakikatnya jalinan kerjasama BN bersama parti-parti tempatan telah membentuk kerajaan negeri Sabah yang stabil, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap BN,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jafry berkata, keputusan PRK berkenaan juga membuktikan rakyat di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag lebih mengutamakan kestabilan, prestasi serta keupayaan gabungan politik untuk mentadbir dan membangunkan kawasan masing-masing berbanding sentimen politik yang bersifat memecahbelahkan.

Tambah beliau lagi, kemenangan tersebut amat bermakna buat UMNO dan BN kerana bukan sahaja berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi, malah menjadi penanda aras jelas bahawa sokongan rakyat di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kekal kukuh bersama Barisan Nasional.

“UMNO Sabah sebagai tonggak kepada BN di negeri ini akan memastikan kedua-dua wakil rakyat yang telah diberi mandat oleh rakyat dapat melaksanakan amanah serta tanggungjawab dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, UMNO Sabah turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor; serta seluruh kepimpinan dan jentera UMNO serta BN Sabah.

“Sokongan padu jentera GRS dan semua parti komponen Kerajaan Perpaduan Sabah, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan UPKO, telah memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan ini.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, kerjasama erat yang telah terjalin dalam Kerajaan Perpaduan Sabah akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membela nasib rakyat serta memastikan agenda pembangunan di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” ujarnya.

Sebelum itu, dua calon BN di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, iaitu Mohd Naim dan Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha, menang besar di kerusi masing-masing dalam PRK yang berlangsung pada Sabtu.

Ringkasan AI

  • Kemenangan BN dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag adalah bukti keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik serta kerjasama BN dengan parti-parti tempatan di Sabah
  • Kerjasama politik yang strategik antara BN dan parti-parti tempatan mampu membentuk gelombang sokongan besar dan berkesan
  • Kemenangan BN menepis naratif pihak lawan yang mempertikaikan kedudukan BN di Sabah
  • Rakyat di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mengutamakan kestabilan dan prestasi gabungan politik daripada sentimen politik yang memecahbelahkan
  • Kemenangan ini membuktikan sokongan rakyat di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kekal kukuh bersama Barisan Nasional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!