Tahun Satu usia enam tahun: Dakwaan Syed Saddiq bercanggah pendirian sendiri - AMK

Laporan Sinar Harian pada Rabu berhubung kemasukan murid Tahun Satu berusia enam tahun ke sekolah.
Laporan Sinar Harian pada Rabu berhubung kemasukan murid Tahun Satu berusia enam tahun ke sekolah.
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu akan mencetuskan diskriminasi di sekolah dan mewujudkan stigma suka membuat perbandingan bercanggah dengan pendirian beliau mengenai reformasi pendidikan serta perubahan minda masyarakat.

Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nadia Nazri berkata, hujah kanak-kanak 'tidak bersedia' atau 'terkesan secara sosial' jika diberi pilihan pendidikan awal mengulangi logik lama yang pernah digunakan untuk menolak Undi 18.

Ironinya beliau berkata, Syed Saddiq berada di barisan hadapan dalam menentang hujah tersebut dengan mesej bahawa jika tidak memberi ruang, mereka takkan pernah dianggap bersedia.

"Dahulu, anak muda dikatakan belum matang atau bersedia membuat keputusan. Namun, kita akhirnya akur kesediaan tidak lahir melalui penangguhan, tetapi kepercayaan, pendedahan dan sokongan.

"Sekiranya kita terus-menerus mahu menangguhkan kepercayaan, maka apa yang kita bina sebenarnya bukan sistem perlindungan, tetapi krisis ketidakpercayaan terhadap generasi sendiri.

"AMK berpandangan, stigma dan label terhadap kanak-kanak bukan berpunca daripada umur kemasukan, tetapi cara berfikir golongan dewasa termasuk ibu bapa, masyarakat serta institusi yang masih terperangkap dalam takrif kejayaan lama," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Nadia menambah, jika murid yang tidak memasuki Tahun Satu pada umur enam tahun terus dilabel 'tidak pandai', 'ketinggalan' atau 'kurang nilai', masalah sebenar adalah cara masyarakat mentafsir perkembangan kanak-kanak, bukannya dasar kemasukan itu sendiri.

Jelasnya, menolak pilihan kemasukan awal semata-mata kerana bimbang dengan stigma adalah tindakan yang berterusan menghalalkan pelabelan sosial dan menormalisasikan budaya perbandingan.

"Jika benar mahu melawan diskriminasi, sepatutnya kita didik ibu bapa dan masyarakat agar menghentikan pembudayaan lapuk ini, bukan membatalkan pilihan yang boleh dimanfaatkan sebahagian keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Hakikatnya, kita perlu melihat kepada bagaimana dasar ini dilaksanakan, dengan fokus utama kepada perlindungan dan sokongan, bukan penolakan pilihan," ujarnya.

Nadia memaklumkan, pihaknya turut mengambil serius kebimbangan bahawa kemasukan awal berpotensi mewujudkan buli.

Tambah beliau, kajian antarabangsa menunjukkan punca utama buli adalah kelemahan dalam persekitaran sekolah, termasuk toleransi terhadap tingkah laku agresif serta ketiadaan mekanisme perlindungan murid yang berkesan.

Ujarnya lagi di Malaysia, laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan kes buli berlaku merentasi pelbagai konteks sekolah, menandakan isu sebenar bukan terletak pada murid semata-mata, tetapi bagaimana sekolah ditadbir dan nilai yang dipupuk.

"Jika logik 'potensi buli' dijadikan asas untuk menolak sesuatu dasar, maka secara konsisten kita juga perlu menolak kelas berbeza tahap pencapaian, peperiksaan dan aktiviti kokurikulum kompetitif, sedangkan pendekatan yang matang adalah mengurus risiko bukan menidakkan hak atau pilihan," jelasnya.

Bagi memastikan isu diskriminasi dan buli ditangani secara tuntas Nadia berkata, kemasukan sukarela mesti disertai dengan garis panduan yang jelas bahawa ia bukan ukuran kebijaksanaan atau nilai kanak-kanak.

Menurutnya lagi, langkah sedemikian perlu disertai dengan saringan kesediaan berasaskan perkembangan holistik, merangkumi aspek emosi dan sosial, bukannya akademik semata-mata.

"Pada masa sama, modul transisi nasional dari prasekolah ke Tahun Satu perlu dibangunkan bagi membantu kanak-kanak menyesuaikan diri serta mengurangkan risiko tekanan dan perbandingan sosial.

"Isu buli mesti ditangani melalui pengukuhan polisi antibuli di sekolah, termasuk latihan pengesanan awal kepada guru dan penambahan kaunselor sekolah.

"Kesemua usaha ini perlu dilengkapi dengan kempen literasi keibubapaan dan kesedaran masyarakat bagi memutuskan budaya perbandingan serta label-melabel yang sering menjadi punca sebenar stigma terhadap kanak-kanak.

Syed Saddiq ketika perbahasan Dewan Rakyat pada Khamis mendakwa memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun Satu sekolah rendah akan mewujudkan peluang yang tidak adil serta stigma dalam kalangan murid.

Beliau turut menggesa kerajaan menilai semula pelan pendidikan baharu itu.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 sebagai langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.

Ringkasan AI

  • Dakwaan Syed Saddiq tentang diskriminasi terhadap kanak-kanak enam tahun memasuki Tahun Satu bercanggah dengan pendiriannya terhadap reformasi pendidikan
  • Nadia Nazri menyatakan stigma dan label terhadap kanak-kanak lebih berkaitan dengan cara berfikir golongan dewasa
  • Naib Ketua AMK menekankan pentingnya kepercayaan, sokongan, dan pendedahan daripada menangguhkan kepercayaan untuk kesediaan kanak-kanak
  • Kajian menunjukkan faktor utama buli adalah kelemahan persekitaran sekolah dan toleransi terhadap tingkah laku agresif
  • Kemasukan sukarela ke Tahun Satu harus disertai dengan saringan kesediaan holistik dan modul transisi untuk mengurangkan tekanan sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!