Kisah ladang babi di Bukit Tagar

Selepas jadi tempat pembuangan sampah, Bukit Tagar akan ditempatkan dengan ribuan ekor babi yang akan diternak dalam skala besar. Gambar hiasan 123rf.
Selepas jadi tempat pembuangan sampah, Bukit Tagar akan ditempatkan dengan ribuan ekor babi yang akan diternak dalam skala besar. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

MULANYA saya tidak mahu ambil peduli sangat pasal cerita babi di Selangor ini. Apalah istimewanya sangat haiwan berkaki empat dan berbadan pendek yang dianggap najis dalam Islam.

Menggambarkan fizikalnya saja sudah memualkan, inikan pula bila melihatnya di depan mata. Asal mengamuk saja, babi yang disebut. Terpijak tahi ayam pun babi yang dimaki terlebih dahulu.

Apabila Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim membuat kenyataan mengenai pemindahan ladang babi di Tanjung Sepat ke Bukit Tagar, sudah tentu ia menjadi isu paling hangat diperkatakan. Di Bukit Tagar pula tu!

Bukit Tagar ialah sebuah kawasan di daerah Hulu Selangor. Bukit Tagar telah dijadikan tapak pelupusan sampah sejak 2005 seluas 800 hektar. Apalah malang Bukit Tagar. Selepas jadi tempat pembuangan sampah, kawasan itu akan ditempatkan dengan ribuan ekor babi yang akan diternak dalam skala besar.

Bukit Tagar menjadi laluan untuk saya pulang ke Felda Soeharto. Ada tiga lagi Felda yang terdapat di situ iaitu Felda Sungai Tengi, Felda Sungai Tengi Selatan dan Felda Gedangsa. Kemudian ada Bestari Jaya. Universiti kerajaan negeri, Unisel juga ada berdekatan.

Sebelum ini bau sampah dan air licit yang meleleh dari lori sampah seringkali menyengat hidung. Selepas ini lori babi pula melatari pemandangan.

Jumaat lepas, ratusan penduduk mengadakan bantahan secara aman. Mereka memohon perkenan Sultan Selangor supaya menitahkan kerajaan Selangor tidak meneruskan rancangan pemindahan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan sumber air.

Sepatutnya, biarlah ladang babi dibina di kawasan majoriti penduduknya pemakan daging babi. Kenapa nak dibina di kawasan majoriti penduduk Melayu beragama Islam?

Bila pusat sisa ternakan dipindahkan, masalah itu tak hilang. Ia cuma berpindah tempat. Menteri Besar Selangor yang berasal dari Johor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tiada alternatif lain selain Bukit Tagar. Sebenarnya alternatif lain ada - jangan ternak babi, import saja dagingnya.

Artikel Berkaitan:

Tentu rakyat Malaysia masih ingat tragedi Bukit Pelandok di Port Dickson sekitar tahun 1998 dan 1999. Bukit Pelandok pernah digelar Pork Capital of Asia.

Ia adalah pusat penternakan babi yang bukan saja terbesar di Negeri Sembilan dan Malaysia, malah di Asia Tenggara. Ratusan ladang kecil hingga sederhana beroperasi rapat antara satu sama lain, iaitu kurang daripada 100 meter.

Satu kajian mencatatkan bahawa antara 300 hingga 500 ladang di Kampung Sungai Nipah dan Bukit Pelanduk, masing‑masing mempunyai antara kira‑kira 50 hingga 3,000 ekor babi setiap ladang.

Sisa najis dan bahan buangan dari kandang mengalir terus ke parit dan sungai. Ketika itu, penternakan babi di situ bukan sahaja untuk memenuhi pasaran domestik, tetapi turut dieksport ke negara lain.

Akhirnya wabak Nipah melanda - berpunca dari babi. Kematian mula berlaku secara mendadak. Kerajaan mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon wabak. Operasi pemusnahan babi bermula.

Ribuan kemudian jutaan ekor babi ditembak dan ditanam hidup-hidup dalam lubang besar. Tiada kompromi. Angka rasmi mencatatkan hampir 1 juta ekor babi telah dimusnahkan.

Bukit Pelandok yang dahulunya lubuk duit, sekelip mata menjadi padang jarak padang terkukur. Ekonomi penternak hancur lebur. Tapi yang lebih menyedihkan adalah nyawa manusia. Dilaporkan seramai 105 orang meninggal dunia.

Oleh itu, janganlah kita ulang kesilapan yang sama. Jika sensitiviti majoriti pun gagal dipelihara, maka apa lagi yang boleh diharapkan daripada sebuah pentadbiran yang kononnya progresif?

*Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Editorial Sinar Harian

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!